Pengurus YADIM Zon Sarawak
Terdapat 5 objektif yang dititik beratkan dalam program ini,
1. Meningkatkan kesedaran para pelajar tentang perubahan dan tuntutan semasa, khususnya perkembangan pembangunan di Sarawak dan peluang-peluang yang akan wujud.
2. Memupuk budaya keilmuan yang utuh.
3. Membina jatidiri Muslim dan keperibadian yang positif.
4. Membangunkan bakat kepimpinan di kalangan pelajar.
5. Memupuk ukhuwah dan keperihatinan terhadap pembangunan negeri Sarawak.
31 Mei 2009 penulis dan Cik Shamsiah Mahli menaiki penerbangan MH2808 ke Miri tepat jam 6.25 petang dan tiba jam 7.30 petang.
Cik Aminah Ismail sudah sedia menunggu bersama Abang Man dari JKR Kuching yang bertugas memandu kami selama program berlansung. Kami menginap di Mega Hotel Miri.
1 Jun 2009 (Isnin) selepas bersarapan pagi kami terus ke Lapangan terbang Miri untuk mengambil penerbangan MH3474 ke Limbang jam 10.25 pagi. Dengan menggunakan perkhidmatan ‘foker’ MASwing saya sungguh kagum dengan keindahan muka bumi ciptaan Allah SWT ini dari udara walaupun ini bukan kali pertama akan tetapi keindahan ini sentiasa segar untuk dinikmati.
45 minit kemudian kami selamat mendarat di Lapangan Terbang Limbang. Cuaca amat baik sekali, tidak terlalu panas seperti di Kuching. Sempat juga kami merakam gambar di lapangan tersebut.
Kami berjumpa Abang Basri, kakitangan SMK Agama Limbang dan menuggu Cikgu Rapiah bt Barudin bersama Ustazah Norhayati serta anak comelnya mengambil kami. Kami dibawa singgah menjamu selera di Restoran San’2’bong. Sempat juga kami menaiki bot yang terletak di pengkalan Sungai Limbang.
Selepas itu kami terus ke SMK Agama Limbang yang terletak 11.7 km dari pusat Bandar. Rombongan menggunakan laluan darat, sampai pada jam 3.30 petang.
Selepas makan malam kami berbincang semua aktiviti yang bakal dijalankan. Disebabkan badan terasa penat mesyuarat ini ditangguhkan pada jam 12.30 tengah malam.
2 Jun 2009 (Selasa) sudah kelihatan pelajar-pelajar datang ke sekolah pada jam 11.00 pagi terutamanya pelajar-pelajar dari SMK Agama Limbang itu sendiri walaupun ketika itu kami masih membuat persediaan terakhir.
Pada jam 1.30 petang sebanyak 4 buah sekolah dijemput termasuk SMK Agama Limbang, SMK Limbang, SMK Seri Patiambun dan SMK Kubong. Keseluruhan pelajar yang mendaftar adalah 92 orang (Lelaki 41 Perempuan 51) di Dewan Al-Syafiee.
Taklimat disiplin sekolah telah diberikan oleh Cikgu Ismail bin Haji Kedri , Ketua Warden SMK Agama Limbang dan seterusnya Ketua Fasilitator dilantik Saudara Khairul Anwar bin Shazali.
Sepanjang 3 hari 2 malam program dijalankan, dua jurulatih modul iaitu Saudari Shamsiah Mahli (YADIM) dan Saudara Abdul Muntaqim bin Zulkipli bersama 7 orang fasilitator iaitu Khairul Anwar, Syedbandi, Mohd. Faizal b. Shamsubahri, Sh. Sophia bt Wan Pathan, Siti Nurbaya bt Mohamad Basir, Siti Suhada bt Bolek dan Ruzanna bt Kawi. Selepas semua fasilitator memperkenalkan diri aktiviti pertama iaitu Dinamika 1: Mencair Ais. Aktiviti ini adalah untuk para peserta mengenali sahabat-sahabat yang lain dengan lebih dekat lagi.
Selepas itu para peserta solat Asar berjemaah di surau dan minum petang. Seterusnya kami menjalankan Dinamika 2 dan 3 iaitu pembahagian kumpulan dan ta’ruf dalam kumpulan.
Para peserta terus bersiap sedia untuk solat Maghrib dan Isya’ berjemaah dimana waktu perantaraan tersebut diselit dengan sesi Kuliah yang diberi oleh Saudara Abdul Muntaqim.
Tanpa berlengah masa, para peserta digesa ke dewan sekolah untuk Dinamika ke 4 ‘Group Binding’ seperti pelantikan ketua kumpulan, membina logo dan bendera kumpulan, matlamat dan motto kumpulan serta gimik kumpulan.
Sesi pembentangan 12 kumpulan yang diagihkan ini telah menunjukkan beberapa petanda positif walaupun ada diantara usia mereka masih 14 tahun. Walaupun ada yang malu-malu akan tetapi sekurang-kurangnya mereka dapat bercakap di depan orang ramai di atas pentas dewan.
11.00 malam para peserta balik ke asrama masing-masing. Akan tetapi para fasilitator masih di dalam dewan untuk sesi ‘post-mortem’ sepanjang aktiviti dihari pertama.
3 Jun 2009, Rabu – Seawal jam 4.30 pagi, fasilitator sudah sedia mengejutkan peserta-peserta untuk menunaikan fardhu Subuh di surau. Selesai tazkirah Subuh, peserta-peserta terus pergi ke padang untuk aktiviti riadah.
7.00 pagi peserta-peserta pergi bersarapan dan bersiap sedia mendengar sesi ceramah 1 yang bermula jam 8.00 pagi. Sesi ceramah 1 dibawa oleh wakil dari Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) atau iCATS. Sesi penerangan mengenai kursus-kursus kemahiran ini mendapat sambutan dan respon yang baik dari peserta.
Seterusnya Sesi ceramah 2 Pembangunan Negeri Sarawak dan Pembangunan SCORE yang diberikan oleh Encik Mohamad Irwan bin Bahari, Penolong Pengarah Unit Pembangunan Negeri Sarawak. Mungkin bagi peserta-peserta yang rata-rata masih mentah usianya, topik yang dibawa oleh penceramah terutamanya mengenai pencapaian ekonomi semasa adalah sesuatu yang berat walhal ia penting untuk pengetahuan. Namun setelah ia berkaitan dengan masa depan mereka, pantas ia menarik perhatian kembali.
< ?xml:namespace prefix = o />
Pihak penceramah serta peserta-peserta berhenti rehat untuk minum tepat jam 10.00 pagi.
Sesi ceramah berikutnya dibawa oleh Ustaz Zamri Mohammad, Pengurus YADIM Zon Sarawak. Ia mengenai Memperkasa Jati Diri Pelajar, Membina Kepimpinan Masa Depan. Pelbagai ‘slide’ menarik dipertontonkan sehingga kelihatan terutamanya peserta-peserta wanita sebak melihat kealphaan kita terhadap agama.
Selepas makan tengahari dan solat Zohor berjemaah, peserta-peserta membuat aktiviti ‘Explore Race’ untuk menajamkan minda serta semangat kerjasama berkumpulan. Walaupun agak sukar mereka menyelesaikan klu-klu yang diberikan akhirnya mereka dapat menyelesaikan hingga habis walaupun perit jerih ‘dikenakan’ oleh fasilitator-fasilitator.
Selesai Sesi Tazkirah Maghrib dan seterusnya solat Isya’ berjemaah peserta-peserta terus ke Dewan Sekolah untuk aktiviti-aktiviti berikutnya sehinggalah jam 11.00 malam.
4 Jun 2009, Khamis – Seperti hari sebelumnya selesai sahaja solat Subuh, peserta terus ke padang untuk aktiviti riadah dan sarapan pagi.
Mengikut jadual jam 8.30 pagi merupakan Amanat YBhg. Datu Dr. Haji Adi Badiozaman Tuah, Pengarah BPPMIS. Disebabkan masalah kesihatan yang tidak mengizinkan, beliau terpaksa balik ke Kuching untuk pemeriksaan lanjut. Ia digantikan dengan aktiviti ‘recall’ untuk peserta-peserta selama mereka berkampung bersama kami di SMK Agama Limbang ini.
Jam 9.30 pagi, Majlis Penutupan dimulakan dengan kata-kata dari Penyelaras Kursus iaitu Cik Aminah Ismail dan seterusnya penutupan oleh YB Tuan Haji Hasbi Abdullah. Beliau amat berbangga melihat anak-anak muda masih kuat dengan pegangan agama Islam sebagai landasan meneruskan jihad hidup. Walaupun dikelilingi oleh pelbagai cabaran duniawi.
Pihak BPPMIS menyampaikan cenderahati kepada YB dan wakil-wakil guru dari setiap sekolah sebagai kenang-kenangan.
Semoga ketemu lagi bah!
Pergi ke Limbang mencari tahai,
Dicampur asam limau menjadi ‘dadah’
Berat hati mengucap ‘good bye’
Moga dirahmati oleh ALLAH..
Penerbangan ke Miri jam 4.55 petang.

