Tempat: Majma Mall, Kuching
Tarikh: 11 Disember 2015
Setelah 5 hari latihan intensif, seramai 71 orang pelajar yang terdiri daripada 25 peserta Kem Bakat Gamelan, 25 peserta Kem Bakat Angklung dan 21 peserta Kem Bakat Teater telah berkampung di tingkat bawah ruang legar Majma Mall pada petang 11 Disember 2015. Para peserta telah mula berkumpul setelah waktu solat Jumaat. Namun atas sebab teknikal yang tidak dapat dielakkan, pementasan yang sepatutnya bermula pada jam 3 petang hanya dapat diteruskan sejam kemudian.
Bagi memulakan persembahan, Adik Faiz dan Adik Nur Farhana yang menjadi pasangan MC telah memperkenalkan rombongan kepada para hadirin yang kebanyakannya terdiri daripada para ibu bapa dan juga pengunjung sedia ada di kompleks tersebut.
Persembahan dimulakan dengan empat (4) lagu Overture oleh peserta Kem Bakat Gamelan sebelum berhenti seketika bagi memberi laluan untuk menunaikan solat Asar. Beberapa peserta didapati bergilir-gilar mengikut lagu yang dimainkan dalam memainkan sepuluh jenis alat Gamelan – Bonang, Kenang, Gambang (Xylophone Kayu), Pekiri Besar, Pekiri Sederhana, Pekiri Kecil, Gong Kembar, Gendang Gamelan 1 (Melalu), Gendang Gamelan 2 (Melintang) dan Gendang Gamelan 3 (Meningkah).
Setelah selesai solat Asar, persembahan kedua pula adalah daripada peserta Kem Bakat Teater dengan drama bertajuk “Ibu”. Drama ini mempunyai tajuk yang sama dengan pementasan yang telah dibuat pada tahun lalu namun diubah suai dan diperbaiki untuk persembahan pada kali ini. Malangnya, atas keterhadan teknikal, dialog peserta kurang jelas dan mungkin menyebabkan para hadirin kurang tertumpu kepada persembahan tersebut.
Selasai pementasan drama, para peserta Bakat Angklung telah memainkan empat (4) buah lagu iaitu Oh! Rembulan, Tualang Tiga, Jingli Nona dan Sayang Sarawak. Menurut fasilitator, kesemua peserta tersebut adalah pelajar yang baharu mengikuti Kem Seni Budaya pada tahun ini dan belajar bermain angklung. Angklung yang dimainkan secara individu mempunyai tiga jenis – set besar Angklung, set kecil Angklung dan Angklung tunggal. Persembahan juga meliputi alat Chime yang dijaga oleh peserta yang memainkan angklung set besar.
Pementasan drama “Lelaki” oleh sebahagian lagi peserta Bakat Teater menyusuli persembahan angklung. Persembahan kedua ini dilihat lebih menyerlah setelah mereka menggunakan suara besar masing-masing bagi memastikan penonton dapat mendengarnya dengan jelas. Secara ringkas, drama pendek ini berkisar sebuah keluarga yang mempunyai seorang anak lelaki yang lembut dan sering diperlekehkan oleh adik-beradiknya yang lain.
Persembahan diakhiri dengan 25 lagu permainan gamelan seperti berikut:
- Boos
- Togok
- Lambang Sari
- Ranggi-Ranggi
- Perarakan
- Meng Manggung
- Antawada
- Timbang Innu
- Muleh
- Timang Burung
- Tudung Periuk
- Dayung Sampan
- Ikan Kekek
- Lenggang Kangkong
- Rasa Sayang Hey
- Long Long Kemalong
- Tergeleng-Geleng (Lagu Mensia)
- Bapak Mek Datang
- Kuch Kuch Hota Hey
- Aku Anak Kampung
- What Make You Beautiful
- Selantin
- Selamat Pengantin Baru
- Pengantin Bersandu
- Adam dan Siti Hawa
Persembahan tamat dan peserta bersurai dalam jam 5.15 petang