Kursus Instruksional Seni Khat yang pertama kali diadakan telah berlangsung di Pusat Kegiatan BPP-MIS, Kuching selama dua (2) hari pada 22-23 November 2014. Seramai 12 orang individu yang terdiri daripada 8 lelaki dan 4 perempuan dari kawasan Petra Jaya telah dibimbing secara teori dan amali dalam menghasilkan karya seni khat masing-masing, oleh Ustaz Mohd. Aizat Che Ramli, iaitu salah seorang fasilitator Kem Seni Khat (Murid Sekolah Rendah) dan Bengkel Seni Khat (Pelajar Sekolah Menengah) yang dianjurkan oleh BPP-MIS. Sebagai mukadimah, pengenalan fasilitator dan alu-aluan telah diberikan oleh mantan penyelaras kursus dan juga staf BPP-MIS iaitu Cikgu Haji Jamil bin Haji Alop. Dalam ucapan beliau, tenaga pengajar bagi kursus ini adalah terhad dan berharap dengan kursus sebegini dapat membantu memperbanyakkan aktiviti serupa untuk para pelajar.
Sebagaimana yang dilakukan bersama para pelajar, Ustaz Aizat telah terlebih dahulu menceritakan pengalaman beliau mempelajari dan menulis khat sebelum memberi penerangan ringkas tentang sejarah ringkas seni khat dan jenis-jenis khat yang biasa digunakan serta penggunaannya di Malaysia. Setelah itu, para peserta diterangkan secara khusus nisbah panjang setiap garis atau lengkok bagi satu huruf hijaiyah (jawi) bagi khat jenis Nasakh. Mereka diberi tugasan untuk membuat latihan menulis sepotong ayat atau kata-kata hikmah menggunakan jenis khat tersebut, sebelum secara amali membuat karya khat masing-masing di atas papan akrilik (iaitu bahan berwarna hitam yang selalu digunakan untuk membuat plat kereta atau motorsikal) menggunakan penyembur cat. Sebelum semburan cat dibuat, para peserta dikehendaki menutup papan akrilik dengan pita pelekat kertas dan menulis nama masing-masing di atasnya. Setelah nama ditulis, sisi luar huruf ditoreh dengan teliti menggunakan pisau lipat yang tajam, bagi membolehkan bahagian luar atau dalam pelekat kertas tersebut ditanggalkan agar cat hanya melekat pada bahagian yang terdedah. Pada penghujung kursus, para peserta bersama fasilitator telah mengambil gambar kenangan bersama karya masing-masing.