Categories
Umum

International Seminar on Islamic Education 2023 (ISIE2023)

Tarikh keramat 16 September 1963 merupakan tarikh penyatuan Sarawak, Sabah, Tanah Melayu, dan Singapura bagi membentuk Persekutuan Malaysia. Peristiwa ini merupakan titik permulaan bagi Sarawak sebagai sebuah negeri yang bebas dan merdeka. Sebagai tanda kesyukuran dan memperingati peristiwa bersejarah ini, pelbagai program khas telah dirangka bagi menyemarakkan lagi sambutan ke 60 tahun kemerdekaan Sarawak ini.

Dengan tema Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka iaitu “Sarawak Maju dan Makmur”, Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam dengan kerjasama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) telah melaksanakan International Seminar on Islam Education 2023 (ISIE2023). ISIE2023 merupakan satu platform bagi ilmuan Islam berkumpul dan berkongsi ilmu serta sumbangan mereka dalam pembangunan masyarakat. Dalam konteks sambutan ini, ilmuan Islam memberi pandangan dan wawasan tentang bagaimana pendidikan dapat membantu dalam mencapai kemajuan dan kesejahteraan ummah.

ISIE2023 turut memberi peluang kepada ilmuan Islam untuk berkongsi pandangan serta aspirasi mereka dalam pemantapan pendidikan demi kesejahteraan ummah. Ini membantu dalam memahami keperluan dan cabaran yang dihadapi dalam pendidikan dan bagaimana ia boleh diperbaiki untuk kepentingan ummah. Selain itu, ISIE2023 juga bertujuan meningkatkan ilmu pengetahuan serta kefahaman tentang pencapaian, cabaran, dan masa depan pendidikan. Ini penting dalam merancang masa depan pendidikan yang lebih baik untuk masyarakat terutamanya umat Islam sendiri.

Bertemakan Islamic Education: Accomplishment, Challenges and The Road Ahead, Perasmian dan Ucap Utama telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Premier Sarawak. Seminar yang dilaksanakan pada 17 dan 18 Jun 2023, di Raia Hotel and Convention  Centre Kuching, Sarawak ini telah melibatkan seramai 19 orang pembentang yang hadir daripada beberapa negara antaranya Malaysia, Singapura, Indonesia dan juga Turki. Selain dihadiri oleh ramai peserta secara bersemuka, ISIE2023 turut dihadiri oleh peserta secara atas talian melalui siaran langsung di laman Facebook rasmi BPP-MIS. 

Dengan penganjuran seminar seperti ini, diharapkan agar pendidikan Islam menjadi lebih kukuh, selaras dengan matlamat tema “Sarawak Maju dan Makmur” sekaligus memberikan impak yang positif kepada umat Islam serta masyarakat secara keseluruhannya.