Pengenalan
Kem Kemahiran Cara Belajar dan Kursus Kemahiran Berfikir telah diadakan di Dewan Masjid At-Taqwa, Miri pada 24 hingga 26 April 2015 dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Masjid At-Taqwa, Miri dan Lembaga Amanah Kebajikan Melayu, Miri. Peserta kursus terdiri daripada 60 (24 lelaki dan 36 perempuan) orang pelajar Tingkatan Empat dari sekolah-sekolah berikut di Miri:
- SM Sains Miri (10 orang)
- SMK Agama, Miri (10 orang)
- Kolej Tun Datu Tuanku Hj. Bujang, Miri (10 orang)
- SMK Lutong, Miri (11 orang)
- SMK Luak, Miri (8 orang)
- SMK Dato Permaisuri, Miri (9 orang)
- SMK Lopeng Tengah, Miri (1 orang)
- SMK Merbau, Miri (1 orang)
Kem ini telah dikendalikan secara penyampaian ceramah , bengkel dan aktiviti permainan serta senaman minda. Penceramah bagi kursus ini adalah terdiri daripada:
- Encik Jais Sahok, Jurulatih Pakar Peningkatan Sekolah PPD Kuching.
- Tuan Hj. Dahlan bin Salin, Rakan Kongsi BPP-MIS
- Encik Narawi bin Haji Udin, Pegawai Penyelidik BPP-MIS.
Objektif
Objektif Kem Kemahiran Belajar dan Kursus Kemahiran Berfikir ini adalah agar peserta :
- Berkebolehan mengenalpasti gaya pembelajaran yang sesuai dengan diri mereka sendiri serta berkebolehan membuat perancangan jangka pendek dan jangka panjang dari segi pengurusan masa mereka;
- Mengetahui adab dan cara serta pelbagai kemahiran belajar yang perlu diamalkan untuk meningkatkan kecemerlangan diri mereka;
- Meningkatkan motivasi peserta untuk belajar.
- Meningkatkan kemampuan peserta berfikir secara kreatif dan kritis di samping berupaya membuat keputusan dan menyelesai masalah serta menjana idea baru.
Kandungan Kursus
- Motivasi Untuk Belajar dan Gaya Pembelajaran serta Pengurusan Masa disampaikan oleh Narawi bin Hj. Udin pada 26.4.2015 (Ahad), jam 0800-1100 (3 jam)
- Kemahiran Membaca dan Membuat Rujukan disampaikan oleh Encik Jais Sahok pada 24.4.2015 (Jumaat), jam 1400 -1530 (1 ½ jam)
- Kemahiran Menulis Laju dan Kemahiran Mencatat Nota disampaikan oleh Encik Jais Sahok pada 4.2015 (Jumaat), jam 1530 – 1700 (1 ½ jam )
- Kemahiran Berfikir Secara Kreatif dan Kritis disampaikan oleh Encik Jais Sahok pada 25.4.2015 (Sabtu) jam 0800 – 1700 (7 jam)
- Kemahiran Mendengar Dengan Berkesan dan Kemahiran Mengingat disampaikan oleh Tuan Hj. Dahlan bin Salin pada 26.4.2015 (Ahad), jam 1100 – 1300 dan jam 1400 – 1600 (4 jam).
Senarai Nama Peserta dan Jadual Kursus
(Akan dikemaskini)
Penilaian Kursus
Kebanyakan peserta menyatakan bahawa kandungan aktiviti kem ini sangat sesuai untuk keperluan mereka dan mereka ingin ikut serta dalam kursus yang serupa pada masa depan. Kebanyakan peserta menyatakan bahawa kem ini patut diperluaskan penyertaannya kepada pelajar lain serta dipanjangkan lagi tempoh aktivitinya.
Pada mulanya peserta agak pasif dalam menjawab soalan yang dikemukakan oleh penceramah tetapi bertambah sangat aktif pada dua hari berikutnya. Mereka telah berhasil menyediakan bahan untuk pembentangan hasil bengkel pengurusan masa secara cukup kreatif dan kritis. Kebanyakan pembentang hasil bengkel berupaya menyampaikan hasil bengkel dengan yakin dan berkesan serta menunjukkan tahap pemikiran yang matang. Semua Ketua Kumpulan berjaya membuat kesimpulan yang bernas tentang hasil bengkel yang dibentangkan oleh ahli-ahli kumpulan mereka.
Guru Bimbingan dan Kaunseling dari SMK Agama, Miri, Cikgu Aimi binti Ismail turut serta memberi ulasan dan input ketika sesi pembentangan hasil bengkel diadakan. Ini merupakan pertama kali seorang guru pengiring melibatkan diri dalam mengemukakan pendapat dan memberi komen terhadap persembahan peserta kem.
Penutup
Kem Kemahiran Belajar dan Kursus Kemahiran Berfikir di Dewan Masjid At-Taqwa, Miri ini telah dapat dijalankan dengan lancar dan licin kerana komitmen tinggi pegawai dari Lembaga Amanah Kebajikan Melayu, Miri yang terdiri daripada Cik Fairuz Shaida bt. Habibi Abideen dan dibantu pula oleh Encik Muhamad Aziz bin Jais (urusan pengangkutan penceramah semasa di Miri) dan Cik Juani binti Juli.
Di samping itu, guru-guru pengiring berikut turut membantu melicinkan pengendalian aktiviti Kem Kemahiran Belajar dan Kemahiran Berfikir ini:
- Noor Adlizan binti Mohamad Zin, dari SMK Agama Miri
- Kamarul Naim bin Che Hassan, dari SMK Agama, Miri.
- Noor Aizidawanie binti Tahir, dari Kolej Tun Datu Tuanku Hj. Bujang, Miri.
- Aimi binti Ismail, dari SM Sains, Miri.
Laporan disediakan oleh:
(Narawi bin Hj. Udin)
Bahagian Perkhidmatan Pendidikan Am
Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak
Tarikh: 27 April 2015
One reply on “Laporan Kem Kemahiran Belajar dan Berfikir Miri 2015”
Assalamualaikum wbt,
Bagaimana untuk pihak sekolah kami turut serta dalam aktiviti-aktiviti anjuran BPP-MIS?
Terima kasih.