Prosedur Pendaftaran
Sebagaimana yang telah dimaklumkan dalam Tanggungjawab Bersama, pendaftaran taska dan pembaharuan lesen perlu diusahakan oleh pihak pengurusan taska iaitu sama ada Jawatankuasa Pengurusan Masjid / Surau atau Lembaga Amanah Kebajikan Islam.
Agensi-Agensi Berkaitan dan Tindakan yang perlu diambil
- Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak (JKMNS)
- Membeli dan mengisi borang pendaftaran dan melampirkan pelan bangunan, surat/minit mesyuarat penubuhan, surat pengesahan keselamatan kebakaran dan status premis.
- Mendapat surat khas dari JKMNS untuk urusan pendaftaran kepada semua agensi lain.
- Menghantar dan mendapatkan surat kebenaran operasi taska.
- Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)
- Membawa salinan surat khas dari JKMNS
- Mendapat pelan bangunan dan pelan lokasi dari Bahagian Bangunan, PBT
- Memohon kebenaran membuat pengubahsuaian bangunan jika ada
- Balai Bomba
- Menyediakan jadual latihan kebakaran
- Membawa salinan surat khas dari JKMNS
- Semakan keselamatan premis taska daripada kebakaran
- Jabatan Tanah dan Survei
- Membawa salinan surat khas dari JKMNS
- Membeli dan mengisi borang untuk membuat perubahan status premis bagi taska masjid yang menggunakan rumah kediaman / bangunan selain dari bangunan masjid.
- Hospital Umum / Jabatan Kesihatan Daerah
- Mendapat suntikan Typhoid bagi pengendali makanan di Taska
- Saringan kesihatan
- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)
- Mendapat lesen perniagaan yang sah bagi taska yang mengutip yuran pendaftaran dan bulanan
- Mendapat surat pengesahan permohonan untuk diberikan kepada JKMNS setempat
Tanggungjawab Pengurus Taska Masjid
Pendaftaran dan Pembaharuan lesen Taska Masjid
Pertamanya, wakil JK Pengurusan Masjid / Surau / Lembaga Kebajikan sebagai pengurus taska masjid bertanggungjawab untuk membuat pendaftaran dan mendapat permit untuk menjalankan taska masjid dengan agensi-agensi yang berkaitan.
Kebajikan, Latihan dan Disiplin Pengasuh
Seterusnya, pencalonan serta temuduga pengasuh baharu perlu dilakukan dan kebajikan mereka perlu dijaga setelah secara rasmi dilantik (dengan menyediakan Surat Lantikan / Tawaran Kerja). Disiplin kerja dan pembayaran elaun bulanan pengasuh (melalui bantuan bulanan BPP-MIS yang dimasukkan dua bulan sekali) juga menjadi tanggungjawab utama dalam memastikan operasi taska masjid berjalan dengan lancar. Sebarang masalah yang timbul hendaklah diatasi dengan segera dan berhikmah serta sebaik-baiknya diselesaikan secara dalaman tanpa membuka aib mana-mana pihak atau individu. Selain itu, jika berlaku pertukaran pengasuh, pihak pengurusan perlu memastikan pengasuh baharu juga menjalani temuduga dan mempunyai tahap kesihatan dan kelayakan minima yang ditetapkan. Mereka perlu menjalani latihan dan lulus Kursus Asuhan PERMATA (KAP) bagi melayakkan diri sebagai pengasuh taska. Secara ringkas, pengurus taska masjid adalah penyelia kepada para pengasuh.
Penetapan Yuran, Pengiklanan dan Enrolmen Taska
Pengurus taska masjid boleh menetapkan kadar yuran bulanan bagi setiap kanak-kanak sama ada tetap (minima RM15) atau mengikut jumlah pendapatan ibu bapa atau penjaga kanak-kanak (sebagaimana yang diamalkan oleh Taska HIKMAH). Jika ramai yang memohon untuk masuk ke Taska, pengurus taska bertanggungjawab mendahulukan mereka yang kurang berkemampuan dan tidak mengamalkan konsep “first come, first serve”. Oleh sebab itu, borang pendaftaran perlu disediakan dan pengiklanan tarikh tutup permohonan kemasukan (enrolmen) taska perlu dibuat sebelum tahun berikutnya. Permohonan pada tahun semasa hanya dibenarkan jika masih terdapat kekosongan berdasar keluasan taska dan bilangan pengasuh.
Kelangsungan Program Taska Masjid
Selain itu, JK Pengurusan juga perlu berusaha untuk menyakinkan mana-mana ahli JK Pengurusan baharu untuk meneruskan program taska masjid ini yang telah termaktub dalam bidang Pendidikan Pelan Tindakan MIS 2011-2020. Sebaik-baiknya, JK Pengurusan Masjid yang mempunyai dana yang kukuh atau ibu bapa yang mampu juga boleh berusaha untuk berdikari dalam urusan pengurusan taska secara keseluruhan. Dengan itu, BPP-MIS akan dapat membantu lebih banyak penubuhan taska masjid di kawasan-kawasan lain yang lebih memerlukan. Sebagaimana pihak swasta, taska masjid juga boleh beroperasi secara sendiri tanpa dana luar jika mempunyai diurus dengan baik tetapi haruslah tidak berorientasikan keuntungan dan lebih mengutamakan perkembangan serta kebajikan kanak-kanak termasuk para pengasuh atau pekerja yang terlibat.
Tanggungjawab BPP-MIS
BPP-MIS membantu JK Pengurusan Masjid / Surau / Lembaga Kebajikan untuk membangun, menambahbaik pengurusan dan kualiti pengasuhan taska masjid melalui lapan (8) aktiviti berikut:
- Pengurusan Taska Eksperimental BPP-MIS
- Pengurusan Pusat Sumber Pendidikan Awal Kanak-Kanak
- Penambahbaikan Pengurusan Taska Masjid
- Pengurusan Kebajikan Kanak-Kanak Taska Masjid
- Pembekalan Bahan Asuhan Taska Masjid
- Pensijilan Pengasuh Taska Masjid
- Penubuhan Taska Masjid
- Penyeliaan Taska Masjid
Secara ringkas, bantuan BPP-MIS adalah dalam bentuk:
- Geran penubuhan taska,
- Bantuan tahunan untuk kebajikan kanak-kanak,
- Bantuan tahunan untuk pembelian bahan asuhan,
- Elaun bulanan pengasuh,
- Khidmat nasihat profesional, dan
- Latihan tahunan serta pentauliahan pengasuh.
Bagi memastikan pengasuh taska masjid latihan dan pendedahan yang sewajarnya setiap tahun, BPP-MIS bekerja rapat dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak dalam penganjuran Konvensyen Pendidikan Prasekolah dan Randau Pengasuhan Kanak-Kanak sejak tahun 2008. BPP-MIS juga membantu Persatuan 3PAKS dalam penganjuran Kursus Asas Pengasuhan di Kuching bagi tujuan latihan intensif dan pentauliahan pengasuh taska masjid. Kedua-dua usaha ini diharap akan dapat meningkatkan ilmu serta kualiti pengasuhan pengasuh-pengasuh di taska masjid secara berterusan.
BPP-MIS juga bertanggungjawab menyelia taska-taska masjid sedia ada dari masa ke masa. Selain itu, BPP-MIS perlu mengenal pasti kawasan-kawasan muslim yang kurang peluang pendidikan awal kanak-kanak di negeri Sarawak, seterusnya mengadakan perbincangan dengan JK Pengurusan Masjid setempat ke arah penubuhan taska masjid baharu.
Selain itu, bagi pihak Majlis Islam Sarawak, BPP-MIS juga membantu membina satu nota perjanjian persefahaman (MoA) dengan pihak kerajaan melalui KKLW dan KEMAS sejak tahun 2014 untuk mengambilalih pengurusan di 13 buah taska masjid secara rasmi pada tahun 2017. Kesemua taska masjid lain juga akan diusahakan untuk dijadikan Taska KEMAS Masjid pada masa akan datang jika belum mampu untuk berdikari.
Tanggungjawab PENGASUH TASKA MASJID
Pengasuh Taska Masjid adalah individu yang dicalon atau diamanahkan oleh pihak JK Pengurusan Masjid dan dipastikan telah menjalani serta lulus penilaian Kursus Asuhan PERMATA (KAP) atau ijazah yang lebih tinggi dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Kursus KAP biasanya dianjurkan oleh persatuan pengasuh setempat yang diiktiraf oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak. Kursus ini penting sebagai tauliah kepada pengasuh sungguhpun pada asalnya tiada latar belakang pendidikan formal atau pengalaman dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Dalam masa yang sama, pengasuh digalakkan untuk meningkatkan ilmu mereka secara berterusan dengan sentiasa menyertai kursus yang dianjurkan oleh BPP-MIS. Di samping itu, mereka juga perlu berusaha untuk memastikan pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia mereka memenuhi syarat umum SPA dengan mengambil Kertas Julai bagi memudahkan pengambilan mereka oleh pihak KEMAS pada masa akan datang.
Dari segi sahsiah pula, pengasuh haruslah menjaga imej dan disiplin diri serta profesional apabila berurusan dengan kanak-kanak dan ibu, bapa atau penjaga mereka. Mereka juga perlu menjaga hubungan baik dengan rakan sejawat dan pihak pengurusan masjid pada setiap masa. Pengasuh bertanggungjawab memantau dan merangsang perkembangan kanak-kanak yang berdaftar di taska masjid. Pengasuh juga perlu menjaga integriti masing-masing dalam simpanan rekod diri (surat lantikan/kehadiran kerja/kesihatan), rekod kanak-kanak (kehadiran harian/kesihatan/data perkembangan) dan rekod taska (carta organisasi/kutipan bulanan/resit perbelanjaan) yang akan disemak oleh pegawai BPP-MIS atau penguatkuasa Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak. Akhir sekali, pengasuh harus berbangga dan faham betapa besarnya peranan mereka dalam pembinaan generasi kelas pertama ‘ulul albab’ di taska masing-masing serta melaksanakan tugas dengan ikhlas kerana Allah SWT di sebalik kesukaran yang dihadapi.
Definisi KANAK-KANAK TASKA MASJID
Kanak-Kanak Taska Masjid adalah kanak-kanak berusia 3 hingga 4 tahun yang berdaftar di Taska Masjid. Pengasuhan, keselamatan dan kebajikan kanak-kanak di taska masjid adalah di bawah tanggungjawab bersama pengasuh dan JK Pengurusan Masjid. Kanak-kanak ini disyor untuk didaftar secara atas talian dan dikemaskini oleh pengasuh di bawah program PERMATA agar enam (6) bidang perkembangan mereka dapat dipantau secara menyeluruh. Mereka juga dipastikan mendapat perlindungan takaful yang diuruskan oleh JK Pengurusan Masjid masing-masing. Hasil daripada didikan di taska masjid, BPP-MIS berharap kanak-kanak yang berdaftar akan mesra masjid, bersahsiah mulia, berkeyakinan tinggi, mempunyai jati diri, proaktif, pandai mengurus diri, berpikiran cerdas, kreatif dan lebih bersedia terhadap perubahan persekitarannya serta mengikuti pendidikan tadika pada umur 5 tahun.
Bidang Perkembangan Awal Kanak-Kanak PERMATA
Bagi merangsang perkembangan kanak-kanak, pengasuh perlu terlebih dahulu mengenali kebolehan atau tahap perkembangan kanak-kanak yang bakal diasuh oleh mereka. Kurikulum PERMATA telah menggariskan enam (6) bidang perkembangan kanak-kanak seperti berikut:
-
Bidang Perkembangan Fizikal (Fzkl)
-
Bidang Perkembangan Sahsiah, Sosioemosi dan Kerohanian (SSEK)
-
Bidang Perkembangan Bahasa, Komunikasi dan Literasi Awal (BKLA)
-
Bidang Perkembangan Awal Matematik dan Pemikiran MatematiK (AMPL)
-
Bidang Perkembangan Deria dan Pemahaman Dunia Persekitaran (DPDP)
-
Bidang Perkembangan Kreativiti dan Estetika (KrEs)
Dalam setiap bidang di atas, ada prinsip dan pendekatan dalam mencapai Milestone @ Tahap Perkembangan Kanak-Kanak yang telah dikenalpasti. Usaha untuk mencapai tahap perkembangan tersebut dari peringkat awal akan membantu melahirkan kanak-kanak yang bukan sahaja bijak dan mempunyai kemampuan yang lebih daripada orang lain tetapi juga menyerlahkan bakat semulajadi yang ada pada tiap-tiap individu.
Tahap Perkembangan Bayi
0 hingga 3 bulan
• Berupaya bertindak balas jika anda menyentuhnya dengan lembut pada pipi atau bahagian sensitif lain seperti tapak tangan dan kaki.
• Dalam tempoh ini juga, kemahiran motor bayi mulai terbentuk dengan baik. Bayi boleh menoleh kepala ke kiri dan ke kanan dan meluruskan tangan serta kaki.
• Mata bayi sudah boleh melihat tetapi tidak fokus.
• Pada usia enam minggu, bayi boleh tersenyum.
• Pada usia lapan minggu bayi akan mengeluarkan bunyi tetapi sukar difahami.
• Kepala bayi sudah boleh diangkat apabila dibaringkan secara meniarap.
• Pada usia tujuh hingga lapan minggu bayi sudah boleh memegang alat permainan lembut dalam tempoh sekejap.
• Pada usia sembilan minggu bayi sudah boleh melihat dari satu objek ke objek lain.
Tip: Beri bayi anda alat permainan yang mengeluarkan bunyi untuk merangsang kemahiran pendengarannya.
3 hingga 6 bulan
• Pada usia 14 minggu, bayi sudah boleh berguling dari perut ke belakang dan sebaliknya.
• Bayi juga boleh mencapai objek dan menggoncang permainan.
• Bayi sudah boleh memegang dua permainan sekali gus dan meletakkannya dalam mulut.
• Bayi sudah boleh mengangkat dadanya apabila dibaringkan secara meniarap.
• Pada usia 16 minggu bayi sudah mulai menendang-menendang kakinya.
• Genggaman tangan bayi mulai kejap dan kemahiran motornya kian mantap.
• Bayi boleh mengangkat kepalanya dalam masa yang agak lama dan memandang ke arah anda.
Tip: Menyanyi akan menceriakan bayi anda dan merangsang kemahiran lisannya. Jadi, ajaklah anak tepuk tangan dan gerakkan badannya mengikut rentak muzik.
6 hingga 9 bulan
• Bayi mulai menolak dirinya dengan menggunakan kedua-dua tangan, perut dan lutut.
• Mata bayi mulai fokus dan mengekori pergerakan anda di sekeliling rumah.
• Bayi juga mulai merangkak.
• Sudah boleh menggunakan genggaman hujung jari yang melibatkan jari telunjuk dan ibu jari untuk mengambil objek kecil.
• Mulai berdiri dengan sokongan pelbagai barang dalam rumah seperti kabinet, rak, meja dan sebagainya.
• Mulai berjalan dengan bantuan barang-barang sokongan seperti perabot.
• Bayi mengeluarkan pelbagai bunyi suku kata seperti ‘ba’ atau ‘da’ yang jelas tetapi tidak difahami.
Tip: Ajar anak menyebut perkataan yang mudah seperti mama dan papa untuk merangsang kemahirannya bercakap.
9 hingga 12 bulan
• Pada usia 40 minggu bayi mulai boleh berdiri dengan sendiri tanpa bantuan perabot.
• Sesetengah bayi mulai memulakan langkah pertama pada usia 41 minggu.
• Bayi juga berminat menolak kereta sorong dan memegang objek yang lebih besar seperti bola.
• Bayi juga boleh memegang objek yang halus seperti pensel dengan cermat.
• Bayi boleh mengenali ahli keluarganya dengan jelas seperti ibu, bapa dan adik-beradik.
• Sudah memahami arahan mudah anda seperti ‘jangan’.
• Bayi gemar bermain ‘sorok barang’ dengan anda.
Tip: Mengajak anak bermain ‘sembunyi-sembunyi’ akan merangsangnya menjadi lebih fokus ketika melihat.
12 hingga 24 bulan
• Pada peringkat ini kanak-kanak biasanya sudah pandai berkata-kata. Contohnya. “Mana mama?”
• Ketika bercakap, mereka akan fokus terhadap apa yang mereka cakapkan itu.
• Semasa membaca buku bersama, mereka akan turut menyebut nama objek-objek yang ada di dalamnya.
• Kanak-kanak dua tahun juga semakin pandai naik dan turun tangga.
• Boleh membuka zip yang bersaiz besar.
• Sudah pandai melukis.
• Semakin pandai memegang dan menggunakan sudu.
Tip: Beri anak anda sudu dan garpunya sendiri ketika makan untuk merangsang kemahirannya memegang sesuatu benda.
Manakala perkembangannya pula akan merangkumi 5 asas utama iaitu perkembangan fizikal, bahasa, kognitif, sosial emosi dan estetika serta daya kreatif.
1. Perkembangan Fizikal
Si manja mengalami perubahan dari segi bentuk dan saiz; kebolehan mengawal pergerakan motor kasar dan halus serta koordinasi anggota badan. Motor kasar berkaitan dengan otot-otot kasar seperti merangkak, memanjat, berjalan dan berlari. Manakala motor halus berkaitan dengan hal yang menggunakan saraf seperti melakar dan melukis.
Tip rangsangan: Berikan anak kertas dan pensel warna. Biarkan dia melukis apa sahaja yang diingini untuk memupuk kreativiti mereka.
2. Perkembangan Bahasa
Anak anda akan mengalami perubahan daripada tahap mengeluarkan bunyi-bunyian kepada penerimaan, kefahaman dan mengeluarkan kata-kata sebagai tindak balas kepada rangsangan. Dia akan belajar menyebut apa sahaja yang didengarkannya. Sama ada melalui percakapan ibu bapa, bahan bacaan yang dibaca kepadanya, menonton televisyen dan mendengar radio.
Tip rangsangan: Ajaklah anak menyanyi lagu dengan lirik ciptaan anda sendiri agar anak boleh belajar menyebut perkataan dengan betul. Misalnya,“Masa mandi, gosok gigi, gosok gigi, gosok gigi…baru bersih.”
3. Perkembangan Kognitif
Ini bermaksud keupayaan kanak-kanak mengumpul maklumat dan menyelesaikan masalah. Perkembangan kognitif kanak-kanak berbeza mengikut tahap usia. Interaksi dan komunikasi orang dewasa dengan kanak-kanak adalah perlu. Kanak-kanak memahami dan akan belajar meniru sebutan berbahasa dengan betul setelah melakukan pengumpulan maklumat.
Tip rangsangan: Setiap kali melakukan sesuatu, beritahu anak apa yang anda sedang buat. Misalnya, “Mama nak buka lampu ni,” lalu tekan suis dan lampu akan menyala. Dengan cara ini anak anda akan memahami perbuatan tersebut.
4. Perkembangan Sosioemosi
Kanak-kanak mula belajar bergaul, berinteraksi dan meluahkan perasaan. Mereka semakin membesar dan pastinya perkembangan emosinya berbeza seperti gembira dan marah. Asuh kanak-kanak dengan mendengar perasaan yang diluahkan dan bimbing mereka ke arah emosi yang positif. Jangan dibiarkan menangis berterusan tanpa mengambil berat emosinya. Tenangkan mereka supaya tidak menangis berpanjangan. Minta mereka memberitahu masalah dan berikan dorongan atau pujian sekiranya mereka boleh menguasai emosinya.
Tip rangsangan: Galakkan anak berkawan dengan rakan sebaya agar dia pandai berkomunikasi dan bertolak ansur.
5. Perkembangan Estetika dan Kreativiti
Lihat kemampuan si kecil mengembangkan daya kreativitinya. Kemahiran ini diperoleh menerusi aktiviti dan projek berkaitan seni visual yang mengutamakan proses, berbanding dengan hasilan akhir. Proses ini mengaktifkan pemikiran kritikal kanak-kanak dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan. Selain itu, aktiviti pendidikan seni visual menggalakkan kanak-kanak melakukan eksplorasi dan eksperimen dalam kehidupan seharian.
Tip rangsangan: Ajak anak bermain permainan gambar sama. Ambil beberapa keping gambar dan buatkan dua salinan. Campurkan kesemuanya dan biarkan anak asingkan gambar yang sama. Cara ini mengasah kemahiran anak menyelesaikan masalah.
Aspek dan Teori Perkembangan Kanak-Kanak
Selain mengetahui tahap perkembangan kanak-kanak, pengasuh juga perlu berusaha untuk memahami teori-teori asas dalam kurikulum PERMATA dalam merangka pendekatan atau langkah-langkah dalam aktiviti agar dapat dijalankan dengan lancar dan berkesan apabila dilaksanakan di taska.
Pembentukan Sahsiah dan Tingkah Laku
- Teori Psikososial (Erik Ericson)
- Teori Perapatan (Bowlby)
Perkembangan Sosial
- Teori Peniruan (Bandura)
– Kanak-kanak belajar dengan meniru perlakuan orang lebih tua - Teori Interaksi (Vygotsky)
– Zone Proximal Devolpment (ZPD) ialah tahap semasa pekembangan kanak-kanak
– Teknik Scaffolding yang meningkatkan dari satu ZPD kepada ZPD yang lebih tinggi
Perkembangan Intelek
- Teori Perkembangan Kognitif (Jean Piaget) – Pengenalan kepada skemata (scheme) yang menyatakan bahawa kanak-kanak bawah 2 tahun belajar melalui sensorimotor manakala mereka yang berumur 2 hingga 7 tahun belajar
- Teori Peniruan Bahasa / Behaviourisme (Skinner)
- Teori Nativisme (Noam Chomsky) – kanak-kanak belajar bahasa secara semulajadi dengan pendedahan awal melalui bercerita, soal jawab, menyanyi dan perbualan.
- Teori Percakapan Kanak-Kanak / Motherese (Chatherine Snow) – Kanak-kanak belajar pertuturan yang bernada tinggi, menggunakan ayat pendek dan perkataan yang berulang-ulang. “Eee… pandainya”, “Canteklah”, “Wah.. bestnya”, “Sayang Mama”, “Good Boy”
Kecerdasan dan Potensi Kanak-Kanak
- Teori Kepelbagaian Kecerdasan (Howard Gardner)
- Teori Kreativiti (Torrance)
- Teori Sistem Ekologi (Bronfenbrenner)
Fail Kanak-Kanak
- Senarai Kanak-Kanak mengikut Umur
- Borang Pendaftaran (Maklumat) Kanak-Kanak
- Rekod Kehadiran Kanak-Kanak
- Rekod Kesihatan Kanak-Kanak (Salinan Kad / Semakan Harian)
- Senarai Semak Perkembangan Kanak-Kanak
- Hasil / Gambar Kerja Kanak-Kanak
Fail Pengasuh
- Salinan Sijil Kursus Asuhan PERMATA Pengasuh
- Resume Para Pengasuh
- Salinan Surat Lantikan Pengasuh
- Rekod Kehadiran Kerja
- Rekod Kesihatan Pengasuh
- Log Harian Pengasuh
- Koleksi RPA dan Refleksi Pelaksanaannya
Fail Pengurusan (Taska)
- Surat Kebenaran Operasi dari Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak (JKMNS) dan agensi-agensi berkaitan
- Rekod Kewangan (termasuk resit atau baucar)
- Perancangan Menu Jamuan Kanak-Kanak di Taska
- Perancangan Pelaksanaan Aktiviti (Jadual Harian / Mingguan / Tahunan)
- Perancangan Koloborasi Ibu Bapa Kanak-Kanak Taska
- Rekod Latihan Kebakaran
- Surat-Surat Rasmi (Diterima / Dihantar)
Dokumen
- Buku Pelawat
- Modul Kurikulum PERMATA / Buku Peraturan Taman Asuhan / Buku Konvensyen Hak Kanak (CRC)
- Buku SOP Taska PERMATA
Cadangan Tema Bulanan TAsKa Masjid
JANUARI (DIRI SAYA)
Minggu 1 : Orientasi Taska – Kenali Diri Saya
Minggu 2 : Wajah dan Gigi Saya
Minggu 3 : Anggota Badan
Minggu 4: Anggota Badan yang Berpasangan
FEBRUARI (KELUARGA SAYA)
Minggu 1 : Ibu Bapa Saya
Minggu 2 : Ahli Keluarga Saya
Minggu 3 : Datuk dan Nenek Saya
Minggu 4 : Makanan dan Permainan Kegemaran Saya
MAC (RUMAH DAN SEKOLAH SAYA)
Minggu 1 : Rumah Saya dan Jiran
Minggu 2 : Jarak dan Persekitaran Rumah / Sekolah
Minggu 3 : Sekolah dan Permainan
Minggu 4 :
Minggu 5 :
APRIL
Minggu 1 :
Minggu 2 :
Minggu 3 :
Minggu 4 :
Minggu 5 :
MEI
Minggu 1 :
Minggu 2 :
Minggu 3 :
Minggu 4 :
JUN
Minggu 1 :
Minggu 2 :
Minggu 3 :
Minggu 4 :
JULAI
Minggu 1 :
Minggu 2 :
Minggu 3 :
Minggu 4 :
OGOS
Minggu 1 :
Minggu 2 :
Minggu 3 :
Minggu 4 :
SEPTEMBER
Minggu 1 :
Minggu 2 :
Minggu 3 :
Minggu 4 :
OKTOBER
Minggu 1 :
Minggu 2 :
Minggu 3 :
Minggu 4 :
NOVEMBER
Minggu 1 :
Minggu 2 :
Minggu 3 :
Minggu 4 :
* Sambutan Tahun Baru Tahun Baru Cina (28)
* Pesta Tanglung (11)