Sorotan Aktiviti Besar Sepanjang Tahun 2011
- Peserta Kursus Peningkatan Ilmu & Kemahiran Instruksional Pendidikan Awal Kanak-Kanak (Kuching) 2011
Laporan Eksekutif
Tahun 2011 adalah tahun keempat Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam (BPP-MIS) beroperasi sebagai sebuah agensi di bawah Majlis Islam Sarawak. Penubuhan BPP-MIS yang diilhamkan oleh Ketua Menteri Sarawak, YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, berperanan sebagai sebuah organisasi yang memberi tumpuan kepada usaha mengimarahkan masjid melalui pelaksanaan pelbagai bentuk program dan aktiviti pendidikan berasaskan masyarakat dalam rangka meningkatkan keupayaan ummah. Beberapa bidang bina upaya sumber manusia yang dikenalpasti semasa Bengkel Bina Upaya Ummah yang diadakan pasa 13–14 Disember 2007, telah dijadikan rujukan dan panduan dalam merangka dan menyediakan program dan aktiviti pendidikan untuk dirintis sebelum pelaksanaannya di masjid-masjid.
Secara umum bidang tugas BPP-MIS seperti yang dinyatakan dalam Kertas Konsep penubuhannya adalah seperti berikut:
- Menyediakan perkhidmatan profesional dalam bidang pendidikan untuk memperkaya, meningkat dan memudahkan usaha membina dan membangun daya upaya ummah sama ada individu, kumpulan atau organisasi Islam;
- Menyelaras usaha-usaha pendidikan yang dijalankan oleh kumpulan atau agensi yang berkaitan dan bekerjasama dengan mereka untuk menyedia dan mempertingkatkan usaha bina upaya semua peringkat ummah melalui pelbagai inisiatif pendidikan;
- Merancang, melaksana, memantau, menyedia dan menilai program-program pendidikan yang dibangun khas untuk memenuhi kehendak dan keperluan kumpulan-kumpulan tertentu yang telah dikenalpasti;
- Menjalankan penyelidikan dan aktiviti pembangunan dalam pelbagai aspek pendidikan dan kesejahteraan sosiobudaya, ekonomi dan politik ummah;
- Mewujud dan mengurus jaringan profesional dan data serta maklumat yang berkaitan dengan pendidikan untuk tujuan membuat keputusan dan pelbagai tujuan pembangunan profesional; dan
- Memperakukan strategi pelaksanaan pelbagai inisiatif pendidikan bagi tujuan mempertingkat, memperkaya dan menaik taraf keupayaan dan kecekapan ummah.
Sepanjang tahun 2011, berlandaskan bidang tugas yang dinyatakan, BPP-MIS telah meneruskan usaha melaksanakan program dan aktiviti yang dibangunkan khusus bagi memenuhi keperluan pelbagai kelompok sasar yang dikenalpasti dalam tiga bidang utama berikut:
- Perkembangan intelektual dan kesejahteraan psikologi kanak-kanak;
- Profesionalisme dan integriti kepimpinan; dan
- Kesejahteraan sosiobudaya individu.
Gambaran tentang bilangan program, aktiviti dan pemanfaat daripada aktiviti yang telah dijalankan sepanjang tahun 2011 dipapar dalam jadual berikut:
BAHAGIAN / BIDANG | Bilangan Program | Bilangan Aktiviti (Akt. Utama) | Bilangan Aktiviti Dilaksana (%) | Bilangan Pemanfaat Langsung | Bilangan Aktiviti Tambahan | Bilangan Pemanfaat Tambahan |
Perkhidmatan Pendidikan Am | 14 | 131 (30) | 126 (96.2 %) | 5,718 | 7 | 845 |
Perkembangan Profesional Berterusan | 6 | 55 (19) | 47 (85.5 %) | 3,171 | 7 | 309 |
Pembangunan Sosiobudaya | 7 | 50 (16) | 30 (60.0 %) | 2,830 | – | – |
JUMLAH | 27 | 236 (65) | 203 (86.0 %) | 11,719 | 14 | 1,154 |
Pelaksanaan aktiviti dan program BPP-MIS sepanjang 2011 telah memberi peranan lebih luas kepada Jawatankuasa Pengurusan Masjid dan Ketua Masyarakat bagi membolehkan lebih banyak program dan aktiviti dilaksanakan di masjid-masjid dan memanfaatkan ahli masyarakat sekitar. Kerjasama dan usahasama ini dirancang dan dilakukan bagi tujuan meningkatkan penyertaan dan penglibatan pihak kepimpinan dan ahli masyarakat setempat dalam perancangan, pengelolaan dan pelaksanaan program dan aktiviti pendidikan dan sosiobudaya yang boleh mendatangkan faedah serta kebaikan bersama. Gandingan dan kerjasama BPP-MIS dan komuniti setempat digerakkan dengan tujuan mencapai tiga matlamat, iaitu
- Membina keupayaan ummah terutama sekali kanak-kanak dan belia Islam melalui program dan aktiviti pendidikan dan latihan;
- Meningkatkan mutu dan pentadbiran masjid melalui program dan aktiviti latihan, kepimpinan dan pengurusan; dan
- Mengimarahkan masjid melalui program dan aktiviti yang dijalankan oleh jawatankuasa-jawatankuasa pengurusan masjid dan diadakan di kawasan atau perkarangan masjid.
Pendekatan dan gerak kerja sedemikian secara langsung telah mewujudkan sinergi, dan memberi ruang kerjasama yang sihat dalam kalangan ahli komuniti setempat untuk menggunakan institusi masjid sebagai pusat pelbagai kegiatan pendidikan seperti: taman asuhan kanak-kanak; aktiviti jati diri murid dan pelajar; aktiviti pembelajaran sains, matematik dan bahasa Inggeris; penguasaan kemahiran asas 3M melalui KaBoM; pengembangan bakat mengaji Al-Quran; kembara hijrah; dan bengkel keselamatan dan kesedaran pelajar. Melalui pendekatan sebegini, masjid sekali gus telah dapat diimarah dan dilestarikan, di samping menerapkan juga elemen-elemen latihan berfaedah dan memperkukuhkan semangat kerjasama dan kepedulian sosial dalam kalangan mereka yang terlibat.
Dalam laporan ini diperlihatkan gambaran ringkas pelaksanaan program dan aktiviti yang telah dirancang untuk tahun kedua dalam kerangka Fasa 3 (2010-2011) Perancangan Program Lima Tahun Pertama BPP-MIS. Sesuai dengan matlamat dan pendekatan mahu mengupayakan ummah dari peringkat akar umbi, peranan komuniti tempatan terutama sekali ketua-ketua masyarakat serta ahli-ahli jawatankuasa pengurusan masjid dalam pelaksanaan aktiviti pendidikan berasaskan masyarakat telah dapat dipertingkatkan. Matlamat akhir yang ingin kita sama-sama capai adalah untuk menggalak dan menggerakkan kreativiti tempatan dalam penggubalan dan pembinaan program dan aktiviti yang benar-benar sesuai dan menepati kehendak setempat selain dari menyesuaikan beberapa program dan aktiviti yang telah dibangun dan dirintiskan oleh BPP-MIS.
Pendekatan yang dilakukan ini adalah selari dengan tujuan penubuhan BPP-MIS untuk membantu Majlis Islam Sarawak dalam merealisasikan sebahagian daripada agenda pembangunan pendidikannya, iaitu untuk menyediakan:
- Satu wadah rasmi bagi para intelek Islam, pemikir, pengamal dan penggubal dasar untuk membincang dan mengupas pelbagai isu mengenai dan yang menyentuh masyarakat Islam, dan seterusnya mencadangkan penyelesaian melalui inisiatif atau inovasi pendidikan;
- Satu jaringan data dan maklumat serta kerjasama pendidikan yang boleh membantu dalam pelbagai urusan membuat keputusan dan menyediakan perkhidmatan pendidikan kepada semua sektor ummah yang berminat dan komited terhadap usaha pembangunan profesional dan kecemerlangan pendidikan; dan
- Satu organisasi berorientasikan program yang mempunyai tujuan dan fungsi utnuk membantu merancang, menyelaras, melaksana dan memantau program.
Dalam kerangka Fasa 3 Perancangan Program Lima Tahun Pertama ini, tumpuan diberi kepada usaha untuk memperkukuhkan rangkaian kerjasama dengan rakan-rakan kongsi dari kalangan masjid, sekolah, NGO dan individu. Sinergi mantap yang dibina melalui jaringan dan rangkaian seperti ini adalah diharapkan akan dapat meningkatkan keupayaan serta kemampuan ummah menghadapi dan menangani permasalahan sosiobudaya dan cabaran semasa dalam masyarakat.