BPP-MIS mentakrif pelajar yang memerlukan bimbingan sebagai pelajar meskipun berpencapaian akademik di aras lemah dan sederhana tetapi menunjuk minat untuk meningkat pencapaian mereka, dan dari segi sikap dan disiplin, kumpulan pelajar ini masih boleh dibentuk dan dibimbing. BPP-MIS berpandangan bahawa usaha hendaklah diambil untuk membantu semua pelajar sekolah menengah memiliki pandangan kendiri yang positif dan berkeyakinan untuk terlibat dalam aktiviti bersama rakan sebaya di sekolah.
Melalui program bimbingan yang dibangunkan khas untuk kumpulan ini, BPP-MIS percaya bahawa mereka boleh mencapai tahap rasa yakin dan percaya diri yang tinggi untuk mendapat sepenuh manfaat daripada peluang pembelajaran dan pendidikan formal yang disediakan di sekolah-sekolah. Dengan terbentuknya sikap dan pandangan kendiri yang positif mereka diyakini akan lebih bersedia untuk terlibat dan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti bersama rakan sebaya.
Enam (6) aktiviti di bawah dua (2) program ini bertujuan membimbing pelajar untuk mengenali dan meningkatkan keyakinan diri serta menginsafi kebesaran Ilahi melalui motivasi dan aktiviti seni.
Senarai Aktiviti
- Bengkel Bina Insan
- Bengkel Kemahiran Cara Belajar
- Bengkel Kemahiran Asas Komunikasi
- Bengkel Fotografi
- Bengkel Asas Multimedia
- Bengkel Seni Khat
Aktiviti 20: Bengkel Bina Insan
Pemantapan jati diri dalam kalangan remaja Islam adalah penting dalam usaha membangun dan mensejahterakan ummah. Remaja Islam yang memiliki jati diri yang kukuh bukan sahaja lebih berkemampuan mempertingkatkan keupayaan diri tetapi juga lebih berkeyakinan untuk membantu rakan sebaya. Justeru, peluang perlu disediakan untuk mereka mendapat bimbingan dan membina jati diri yang lebih mantap.
Bengkel ini bertujuan untuk membina keyakinan dan jati diri dalam kalangan peserta supaya mereka lebih bersedia untuk memasuki alam dewasa dan menjadi pemimpin rakan sebaya.
OBJEKTIF
- Meningkatkan keyakinan dan jati diri
- Meningkatkan kesediaan untuk melibatkan diri dalam aktiviti berfaedah serta bermanfaat.
- Meningkatkan daya kepimpinan.
KRITERIA KUMPULAN SASAR
Pelajar Tingkatan 3
PENGISIAN
- Mengenali Diri
- Mengenali Pencipta
- Mengenali Rasulullah
- Konsep Khalifah
- Adab Pembelajaran
- Ekspresi Rasa
CARA PELAKSANAAN
Aktiviti ini dikendalikan dengan kerjasama rakan kongsi dan dilaksanakan dalam bentuk ceramah, latihan dalam kumpulan, diskusi kumpulan dan pembentangan hasil.
Aktiviti 21: Bengkel Kemahiran Cara Belajar
Dapatan kajian-kajian lepas menunjukkan bahawa para pelajar akan lebih berkemampuan mencapai kejayaan sekiranya mereka menguasai pelbagai model dan teknik pembelajaran. Kemahiran cara belajar adalah kemahiran yang membolehkan seseorang pelajar mencari, menilai, memilih, menyusun, menyimpan, menyampai dan berkongsi ilmu pengetahuan.
Melalui bengkel ini pelajar akan didedahkan kepada beberapa aspek kemahiran belajar dan pengurusan masa yang perlu difahami, dikuasai dan diamalkan bagi tujuan meningkatkan keberkesanan proses menimba ilmu pengetahuan dan kemahiran. Latihan amali yang diadakan dalam aktiviti individu dan secara berkumpulan pelajar adalah diharapkan dapat memilih serta mengamalkan kaedah pembelajaran yang sesuai dengan kemampuan masing-masing supaya lebih bermakna
Bengkel ini diisi dengan pelbagai aktiviti yang berkisar pada perkara berikut: motivasi untuk belajar; gaya pembelajaran; kemahiran mendengar dengan berkesan; kemahiran membuat rujukan; kemahiran menulis laju; kemahiran mencatat nota; kemahiran mengingat; kemahiran membaca; dan kemahiran mengurus masa.
Aktiviti 22: Bengkel Kemahiran Asas Komunikasi
Kemahiran komunikasi adalah satu aspek penting dalam kehidupan bermasyarakat. Penguasaan kemahiran ini memudahkan seseorang untuk berinteraksi, bersosialisasi, memahami dan difahami. Kemahiran dalam bidang ini boleh dikuasai melalui penglibatan langsung dalam pelbagai aktiviti dan latihan.
Bengkel ini menyediakan ruang kepada pelajar sekolah menengah yang memerlukan bimbingan untuk meningkatkan kecekapan mereka berkomunikasi, bukan sahaja dengan rakan sebaya tetapi juga dengan khalayak ramai dalam pelbagai konteks sosial di sekolah atau pun dalam kalangan masyarakat luar. Bengkel ini bertujuan membantu para pelajar yang memerlukan bimbingan:
- Meningkatkan keyakinan dan potensi diri;
- Meningkatkan kemahiran dan keupayaan berkomunikasi dalam pelbagai konteks sosial; dan
- Meningkatkan kreativiti melalui dan dalam berbahasa dan berhujah.
Aktiviti 23: Bengkel Asas Fotografi
Seni fotografi sebagai salah satu aplikasi sains dan teknologi sekiranya digunakan secara kreatif bukan sahaja dapat menjadikan pembelajaran dalam kalangan pelajar menarik dan menyeronokkan, malah dapat juga meningkatkan kepekaan rohaniah terhadap kebesaran Ilahi. Hasil fotografi yang baik boleh juga digunakan sebagai bahan pengajaran yang lebih bermakna dan menarik bagi tujuan membantu pembelajaran tentang alam dan kehidupan seharian manusia biasa.
Bengkel ini bertujuan menyediakan peluang kepada pelajar yang memerlukan bimbingan untuk memperoleh kemahiran asas menggunakan kamera dan aksesorinya. Melalui kemahiran yang dikuasai, pelajar dijangka dapat meningkatkan kefahaman mereka tentang konsep sains dan teknologi serta alam semulajadi. BPP-MIS percaya kemahiran asas fotografi yang mereka perolehi dalam bengkel ini dapat membantu mereka membina rasa yakin diri.
Aktiviti 24: Bengkel Asas Multimedia
Multimedia sebagai teknologi penyampaian maklumat yang menggabungkan elemen-elemen teks, grafik, bunyi, animasi dan video adalah satu media komunikasi yang penting dikuasai oleh para pelajar. Sifatnya yang interaktif mampu digunakan untuk menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran menarik serta menyeronokkan.
BPP-MIS meyakini bahawa bahan multimedia dapat berperanan menjadi daya tarikan serta pendorong kepada para pelajar yang memerlukan bimbingan untuk menghargai peluang persekolahan yang disediakan. Bengkel ini merupakan permulaan yang baik untuk melibatkan mereka dalam aktiviti yang bersifat hands-on, dan kerana itu lebih banyak amali daripada teori dalam pelaksanaannya. Bengkel ini mendedahkan kepada para peserta tentang kemahiran asas menggunakan beberapa perisian yang dapat membantu dalam menyediakan persembahan multimedia.
Bengkel ini bertujuan:
- Meningkatkan kemahiran teknik dan kaedah memanipulasi grafik menggunakan komputer;
- Meningkatkan kemahiran berkaitan dengan teknik dan kaedah fotografi dan video yang lebih efisien;
- Meningatkan kemahiran dalam penghasilan animasi dan video menggunakan teknik perkomputeran; dan
- Meningkatkan kefahaman tentang konsep dan asas mencipta persembahan multimedia.