Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the supsystic_tables domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in C:\Domains\bppmiscom\bppmis.com\wwwroot\wp-includes\functions.php on line 6114
9 Aktiviti Belia Memerlukan Bimbingan (Aktiviti #33 hingga #41)

9 Aktiviti Belia Memerlukan Bimbingan (Aktiviti #33 hingga #41)

Senarai Aktiviti

  1. Kem Eksplorasi Minda
  2. Kem Keselamatan dan Kesejahteraan Diri (BESTARI)
  3. Kembara Hijrah
  4. Kem Asas Budaya
  5. Usrah Qudwah
  6. Kegiatan Khidmat Belia
  7. Kem Seni Budaya
  8. Bengkel Kemahiran Hidup
  9. Karnival Masjid

Aktiviti 33: Kem Eksplorasi Minda

Kem ini dibangunkan khusus untuk belia lelaki yang berisiko dengan tujuan menyediakan peluang kepada mereka untuk mendapat bimbingan secara terarah supaya mereka dapat:

 

  1. Meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai tuntutan serta jangkaan terhadap diri sebagai individu Muslim;
  2. Meningkatkan keyakinan dan kepercayaan terhadap diri sendiri;
  3. Membentuk matlamat hidup; dan
  4. Memupuk semangat sukarela dan mengeratkan ukhuwah antara sesama rakan sebaya dan seagama.

Antara perkara yang diberi penekanan adalah:

  • Memahami diri sebagai hamba dan khalifah Allah SWT
  • Pemupukan minat dan pembangunan potensi diri
  • Konsep ibadah dalam hidup bermasyarakat
  • Pembentukan jati diri dan sahsiah Islamiah
  • Pembentukan matlamat hidup

Aktiviti 34: Kem Keselamatan dan Kesejahteraan Diri (BESTARI)

Kem ini dibangunkan khusus untuk belia wanita yang berisiko. Sebagai tiang negara mereka perlu mempunyai jati diri yang mantap terutama sekali berkaitan secara langsung dengan hal-hal pemeliharaan maruah dan harga diri sebagai wanita. Pengaruh nilai, amalan dan kefahaman yang datang dari konteks sosiobudaya yang berbeza adalah antara cabaran sosial yang perlu dihadapi dan wajar ditangani dengan bijak demi kelangsungan nilai dan adab budi hidup bermasyarakat dan beragama.

Kem ini bertujuan menyediakan peluang kepada belia wanita yang berisiko untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam memelihara kesejahteraan dan keselamatan diri bagi menghadapi persekitaran sosial yang sentiasa berubah dan keadaan hidup yang kian mencabar. Secara amnya

Kem ini memberi tumpuan kepada usaha-usaha untuk:

a. Meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai diri sebagai Muslimah;
b. Meningkatkan keyakinan diri;
c. Membentuk matlamat hidup; dan
d. Menanam semangat kesukarelaan dan mengeratkan ukhuwah.

Perkara-perkara yang didedahkan melalui ceramah, perbincangan dalam kumpulan dan bengkel kepada para peserta antaranya adalah:

• Makna diri sebagai wanita;
• Individu sebagai hamba dan khalifah Allah SWT;
• Tanggungjawab bersama dalam menjaga serta memelihara keselamatan dan kesejahteraan;
• Tokoh wanita Islam sebagai teladan;
• Konsep ibadah dalam hidup bermasyarakat
• Pembentukan jati diri dan sahsiah Islamiah
• Pemupukan minat dan pembangunan potensi diri
• Pembentukan matlamat hidup

Aktiviti 35: Kembara Hijrah

Usaha untuk menyemai dan memupuk penghayataan terhadap sejarah dan makna peristiwa Hijrah Rasullullah SAW yang berteraskan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT dalam kalangan para remaja dan belia Islam amat perlu dilakukan secara sedar dan terancang. Tuntutan hidup dan persekitaran sosiobudaya yang semakin mencabar mengkehendaki generasi muda Islam memahami makna pengorbanan. Pengorbanan serta perjuangan Rasullullah dan para sahabat, dan perancangan secara strategik yang dilakukan melalui penghijrahan dari Kota Makkah ke Madinah untuk menegakkan syiar Islam adalah satu tanda aras yang amat relevan. Melaluinya para belia akan lebih terangsang untuk merubah minda dan menyusunatur cara bertindak supaya dapat memeta hala tuju hidup masing-masing.

Aktiviti Kembara Hijrah memberi peluang kepada para belia bukan sahaja untuk memahami makna Hijrah Rasullullah SAW, tetapi juga signifikannya dalam konteks penghijrahan masa kini. Di samping itu, aktiviti ini juga menyediakan ruang kepada mereka untuk mengenali dan memahami persekitaran sosiobudaya setempat, serta menghargai betapa pentingnya semangat persaudaraan dan kerjasama dalam kalangan sesama masyarakat Islam khasnya dan dengan ahli masyarakat lain amnya.

Kembara Hijrah bertujuan membantu belia yang memerlukan bimbingan untuk:

a. Memahami dan menghayati makna hijrah;
b. Memahami persekitaran sosiobudaya masyarakat setempat mereka;
c. Mengeratkan jalinan silatulrahim antara sesama mereka dan juga dengan masyarakat setempat, terutama sekali pemimpin masyarakat dan JK Pengurusan masjid; dan
d. Memupuk keyakinan diri serta minat supaya berani dan ingin terlibat secara aktif dalam pelbagai aktiviti pengimarahan masjid.

Aktiviti 36: Kem Asas Budaya

Dalam hidup bermasyarakat, adab berkomunikasi dan bergaul adalah amat penting bagi meningkatkan keakraban serta rasa hormat-menghormati dalam kalangan anggotanya. Sebagai generasi pelapis, belia wajar memahami kepentingan adab serta menguasai kemahiran budaya yang berkaitan bagi mewujudkan perhubungan yang baik dan harmonis. Belia yang memerlukan bimbingan hendaklah dibantu untuk memahami unsur dan nilai budaya dan mengamalkannya supaya mereka dapat menjadi individu yang berguna, bertanggungjawab dan diterima oleh masyarakat.

Kem Asas Budaya menyediakan peluang bagi membolehkan peserta memahami dan menghayati konsep budaya dan meningkatkan kemahiran sosial berteraskan budaya masyarakat setempat supaya dapat berkomunikasi dan berinteraksi secara beradab.

Kem ini bertujuan:

a. Meningkatkan kesedaran dan kefahaman tentang tuntutan hidup bermasyarakat;
b. Meningkatkan kefahaman tentang adab pergaulan; dan
c. Meningkatkan kemahiran berkomunikasi dalam hidup bermasyarakat.

Antara isi kandungan Kem Asas Budaya adalah: pengenalan tentang konsep budaya; peranan belia sebagai pewaris budaya masyarakatnya; adab bergaul dan berinteraksi; kemahiran berkomunikasi secara tertib; dan peranan diri sebagai hamba dan khalifah Allah.

Aktiviti 37: Usrah Qudwah

Hidup seorang Muslim akan menjadi lebih bermakna sekiranya dipenuhi dengan amalan yang berlandaskan ajaran Al-Quran dan sunnah Rasullullah SAW. Usaha untuk mengukuhkan jati diri para belia lebih mudah digerakkan secara berkesan apabila mereka diberi bimbingan untuk memahami dan menghayati keperibadian dan perjuangan hidup Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan tokoh-tokoh Islam. Kefahaman tersebut akan mendorong mereka untuk mencontohi secara sedar teladan yang telah ditunjukkan oleh Rasullullah SAW dan para sahabat di dalam kehidupan seharian mereka.

Usrah Qudwah bertujuan memberi peluang kepada belia untuk memahami kewajaran Rasullullah SAW, para sahabat dan tokoh-tokoh Islam yang lain dijadikan contoh utama dalam merangka tindakan atau mengorak masa depan masing-masing. Di samping itu, dalam usrah ini para belia dibimbing untuk menghayati kepentingan ilmu dan usaha berterusan untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dalam rangka membina kehidupan yang lebih baik.

Antara tajuk perbincangan yang diberi tumpuan dalam usrah ini adalah:

• Kefahaman Agama dan Asas Akhlak;
• Rasullullah SAW sebagai Uswatun Hasanah;
• Para sahabat dan Tokoh-Tokoh Islam; dan
• Perolehan Ilmu dan Pembudayaannya;

Aktiviti 38: Kegiatan Khidmat Belia

Kegiatan Khidmat Belia adalah usaha bersepadu yang bertujuan menyediakan ruang kegiatan di Pusat Kegiatan BPP-MIS untuk memudahkan para belia berkumpul bagi mengadakan pelbagai aktiviti kelimuan. Ia juga memberi peluang kepada mereka yang memerlukan untuk mendapat khidmat bimbingan dan kaunseling dalam bidang yang berkaitan.

Guru bimbingan dan kaunseling dikenalpasti untuk menjadi pembimbing utama dalam aktiviti-aktiviti bimbingan dan kaunseling bagi membantu para belia memahami masalah atau cabaran yang dihadapi. Sementara itu para fasilitator berpengalaman dalam kalangan para belia berperanan untuk memberi tunjuk ajar atau panduan dalam merancang, merangka dan melaksanakan pelbagai aktiviti yang difikirkan sesuai dengan keperluan sesama teman sebaya, sama ada di Pusat Kegiatan itu sendiri atau untuk dilaksanakan di tempat lain.

Aktiviti 39: Kem Seni Budaya

Seni budaya adalah khazanah berharga yang melambangkan himpunan kreativiti, pengalaman dan nilai tamadun bangsa. Seni budaya bukan sahaja dapat menjamin kelestarian identiti dan jati diri bangsa, tetapi juga mampu mengembangkan daya cipta dan kreativiti seseorang individu. Belia sebagai generasi pelapis wajar dibantu untuk mengenali dan menghayati seni budaya supaya dapat memainkan peranan sebagai pewaris yang bertanggungjawab memelihara dan memperkayakan kesenian bangsanya.

Kem Seni Budaya menyediakan peluang untuk belia memahami dan menghayati fungsi dan kebermaknaan seni budaya dalam kehidupan seharian masyarakatnya. Di samping itu, belia juga dibimbing untuk mempelajari dan menguasai beberapa kemahiran penting dalam bidang seni budaya yang terpilih dengan harapan mereka dapat sama-sama menghidupkannya melalui pengkaryaan atau persembahan kesenian.
Bengkel ini bertujuan:

a. Meningkatkan kefahaman dan penghayatan tentang fungsi seni budaya dalam masyarakat;
b. Meningkatkan pengetahuan dan kemahiran asas dalam bidang seni budaya; dan
c. Mewujudkan kumpulan pelestari seni budaya.

Aktiviti 40: Bengkel Kemahiran Hidup

Bengkel Kemahiran Hidup dirancang untuk menyediakan peluang kepada para belia yang memerlukan bimbingan supaya mereka dapat menguasai beberapa kemahiran asas keusahawanan yang boleh membantu mereka memulakan perniagaan secara kecil-kecilan. Salah satu daripada bidang keusahawanan yang dikenalpasti sebagai bersesuaian dengan kemampuan para belia adalah kraftangan. Bidang ini bukan sahaja tidak melibatkan modal yang besar tetapi amat mudah untuk diusahakan dari rumah.

Bengkel ini bertujuan melibatkan belia dalam aktiviti berjual-beli hasil kraftangan dengan membekalkan mereka:

• Pengetahuan asas tentang ilmu keusahawanan;
• Kemahiran membuat dan menghasilkan kraftangan yang terpilih; dan
• Keyakinan serta keberanian untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.

Aktiviti 41: Karnival Masjid

BPP-MIS menyedari bahawa hasil daripada Bengkel Kemahiran Hidup dan kemahiran yang telah diperoleh oleh para belia amat memerlukan wadah untuk membolehkan produk kraftangan diperkenal, dipromosi dan dipasarkan. Penyediaan ruang dan peluang seperti ini diyakini akan dapat menambahkan lagi keyakinan serta kepercayaan mereka tentang kebolehpasaran hasil kraftangan masing-masing.

Karnival Masjid merupakan satu aktiviti di mana pelbagai aktiviti keilmuan, kemasyarakatan dan ekonomi dilaksanakan untuk mengimarahkan masjid. Ia juga merupakan medan yang menyediakan peluang untuk para belia mendapat ilmu serta pengalaman baharu dan berinteraksi dengan masyarakat setempat.

Secara umum, Karnival Masjid membantu para belia yang memerlukan bimbingan untuk:

a. Mendapatkan ruang pemasaran produk-produk kraftangan;
b. Melibatan diri dalam usaha mempelbagaikan aktiviti pengimarahan masjid; dan
c. Membina rangkaian dan jaringan baharu antara sesama teman sebaya dan juga masyarakat setempat.

Leave a Reply