Senarai Aktiviti
- Kem Pemahaman Akidah
- Kem Mengangkat Martabat Generasi Muda (MUDA)
- Wacana Belia Wanita
- Kem Kesediaan Ke IPT
- Kem Budaya
- Serasehan Belia
- Bengkel Jejak Warisan
- Kem Sukarelawan Belia
- Kuliah Tasawur Islam
- Seminar Pembudayaan Ilmu
- Seminar Pembangunan Ummah
Aktiviti 42: Kem Pemahaman Akidah
Belia yang memiliki ilmu pengetahuan dan kefahaman agama yang baik lebih berupaya untuk melihat perubahan yang berlaku dan menilai kemungkinan kesan baik buruknya ke atas diri mereka sendiri atau masyarakatnya dari perspektif hidup beragama. Bertunjangkan ilmu dan bersandarkan sikap positif para belia mampu menghadapi serta menangani perubahan atau cabaran tersebut mengikut kemampuan masing-masing. Bengkel ini bertujuan untuk membimbing para belia memahami hakikat dan sifat diri sebagai insan serta membangun keupayaan dan membina keyakinan diri, dengan harapan mereka akan menjadi insan yang lebih bertaqwa dan bertanggungjawab.
Kem ini bertujuan:
- Meningkatkan kefahaman peserta tentang diri sendiri dan matlamat hidup sebagai seorang Muslim; dan
- Memantapkan jati diri serta meningkatkan semangat kepedulian sosial.
Antara perkara yang diberi penekanan dalam kem ini antaranya adalah:
- Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan cabaran semasa
- Pengenalan tentang Sifat-Sifat 20
- Rasullullah SAW sebagai Contoh Terbaik
- Hakikat dan Sifat Insan
- Kepentingan Ukhuwah
Aktiviti 43: Kem Mengangkat Martabat Generasi Muda
Ramai belia dari kawasan luar bandar atau pinggir bandar terlepas peluang untuk menambah ilmu pengetahuan, kemahiran atau kecekapan kerana kurang pendedahan kepada maklumat terkini atau perubahan semasa seperti latihan teknikal, peluang pendidikan dan latihan serta peluang pekerjaan. Selain itu, mereka juga mudah tercicir daripada pembangunan arus perdana kerana tidak memiliki keyakinan, daya saing, dan semangat juang. Kem ini menyediakan peluang kepada peserta dari kawasan luar bandar untuk mendapatkan maklumat tentang peluang pendidikan dan latihan, dan maklumat pekerjaan. Di samping itu, peserta juga akan dibimbing untuk memantapkan jati diri dan membina watak budaya Islami yang berpaksikan contoh teladan daripada ajaran dan sunnah Rasullullah SAW.
Kem ini bertujuan;
- Meningkatkan pengetahuan peserta tentang peluang-peluang pendidikan dan latihan teknikal, dan kerjaya;
- Meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penyertaan belia Islam dalam pembangunan ekonomi Sarawak; dan
- Memantapkan jati diri sebagai seorang Muslim dengan menghayati sifat-sifat dan keperibadian Rasullullah SAW.
Aktiviti 44: Wacana Belia Wanita
Wanita memainkan peranan penting dalam menentukan kebahagiaan keluarga dan mencorak pendidikan awal kanak-kanak dalam melahirkan generasi yang berilmu, bersahsiah dan berakhlak mulia. Sebahagian daripada mereka juga berperanan sebagai teknokrat negara dan aktivis masyarakat. Dengan peranan dan tanggungjawab yang pelbagai, kumpulan ini perlu secara berterusan meningkatkan ilmu duniawi dan ukhrawi, serta memantapkan rasa kebertanggungjawaban sosial, supaya mereka bukan sahaja boleh menyumbang kepada usaha penambahbaikan organisasi dan keluarga masing-masing, tetapi juga memainkan peranan yang lebih berkesan dalam meningkatkan kesejahteraan ummah.
Wacana ini menyediakan peluang kepada belia wanita meningkatkan semangat kepedulian sosial dan kefahaman tentang kedudukan, peranan dan tanggungjawab mereka dari perspektif Islam dalam menangani isu dan cabaran masa kini. Secara khusus wacana ini bertujuan:
- meningkatkan kefahaman tentang kedudukan wanita dan tanggungjawab mereka dalam merealisasikan matlamat hidup dalam Islam;
- meningkatkan kesedaran tentang peranan wanita dalam pembangunan ummah;
- meningkatkan komitmen untuk menyumbang kepada usaha mensejahterakan ummah; dan
- meningkatkan kefahaman tentang konsep dan budaya ilmu.
Perkara asas yang diberi keutamaan dalam wacana ini adalah:
- Hakikat Diri sebagai Wanita
- Peranan Wanita dalam Pembangunan Ummah
- Konsep dan Pembudayaan Ilmu dalam Pembangunan Diri dan Masyarakat
- Mengenali dan Mencintai Rasulullah SAW
- Ketokohan Sayyidah Khadijah Al-Kubra dan para wanita zaman Rasulullah SAW.
Aktiviti 45: Kem Kesediaan Ke IPT
Belia yang berjaya mendapat tempat di Institut Pengajian Tinggi (IPT) wajar diingatkan tentang tuntutan persekitaran akademik dan sosiobudaya di Institusi Pengajian Tinggi, sama ada swasta atau pun awam, adalah berbeza dan lebih mencabar daripada alam persekolahan. Kejutan budaya merupakan fenomena yang lumrah dialami oleh mahasiswa baru yang kurang bersedia sama ada dari segi mental, rohani atau emosi. Ketidaksediaan ini boleh menjejaskan peluang mereka bukan sahaja untuk mendapat sepenuh manfaat daripada pengalaman pengajian dan kehidupan di IPT, tetapi juga untuk menyumbang secara bermakna kepada kelestarian masyarakat universiti khasnya dan masyarakat umum amnya.
Kem Kesediaan ke IPT bertujuan memberi peluang kepada bakal mahasiswa untuk memahami jangkaan dan tuntutan kehidupan di IPT sebagai pusat ilmu, di samping memperkukuhkan jati diri, membina kecekalan diri dan memupuk persaudaraan Islam dalam kalangan sesama teman seperjuangan.
Kem ini bertujuan:
- Meningkatkan kesedaran tentang pentingnya ilmu dan pemupukan budaya ilmu;
- Meningkatkan kesedaran tentang jangkaan dan tuntutan akademik dan kehidupan di IPT; dan
- Meningkatkan kefahaman dan penghayatan amalan cara hidup Islam dalam membentuk sahsiah serta jati diri Muslim terpelajar.
Perkara yang diberi penekanan dalam Kem ini antaranya adalah:
- Konsep Ilmu dan Budaya Ilmu
- Tanggungjawab sebagai Mahasiswa dan Kehidupan di IPT
- Tanggungjawab Mahasiswa terhadap Pembangunan Ummah.
Aktiviti 46: Kem Budaya
Cara berkomunikasi dan adab bergaul adalah unsur-unsur budaya yang penting dalam hidup bermasyarakat. Sebagai generasi pelapis, belia wajar memahami kepentingan adab tersebut serta menguasai beberapa kemahiran yang berkaitan bagi mewujudkan perhubungan yang baik dan harmonis. Setiap belia hendaklah diberi bimbingan untuk memahami unsur dan nilai budaya tersebut dan mengamalkannya.
Kem ini menyediakan peluang kepada belia untuk mengenali dan memahami kemahiran-kemahiran sosial berteraskan amalan serta budaya masyarakat setempat. Kefahaman dan penghayatan mengenai nilai-nilai yang tersurat dan tersirat semasa berinteraksi ataupun bergaul, dipercayai dapat membantu supaya mereka dapat terus memelihara dengan rasa penuh tanggungjawab keharmonian hidup bermasyarakat.
Kem Budaya bertujuan:
- Meningkatkan kesedaran dan kefahaman tentang tuntutan serta jangkaan adab budi hidup bermasyarakat;
- Meningkatkan kefahaman tentang adab dan nilai-nilai dalam pergaulan seharian; dan
- Meningkatkan kemahiran berkomunikasi dalam konteks masyarakat berbilang bangsa, agama, budaya dan bahasa.
Perkara yang diberi penekanan dalam kem ini antaranya adalah:
- Konsep Budaya dalam Hidup Bermasyarakat
- Mengenali Diri sebagai Hamba dan Khalifatullah
- Peranan Belia sebagai Pewaris Budaya Masyarakatnya
- Adab Bergaul dan Berinteraksi
- Kemahiran Berkomunikasi Beradab
Aktiviti 47: Serasehan Belia
Kecintaan dan minat terhadap ilmu amat penting bagi menjamin kesinambungan pembangunan diri dan kecemerlangan ummah. Belia sebagai generasi pelapis perlu dibimbing untuk menjadikan pencarian dan perkongsian ilmu itu sebagai satu budaya. Dengan mengamalkan budaya ilmu, mereka boleh menjadi belia rabbani yang berupaya berfikir secara kritis dan kreatif. Serasehan Belia menyediakan ruang dan peluang untuk peserta mendapat ilmu dan berkongsi pandangan serta berbincang secara serius sesuatu isu dalam suasana santai dan semangat persaudaraan.
Aktiviti ini bertujuan:
- Memupuk minat serta rasa cintakan ilmu melalui majlis-majlis perbincangan yang santai dalam kalangan para belia;
- Berkongsi ilmu melalui amalan perbincangan sesama rakan sebaya;
- Meningkatkan keupayaan belia untuk berbincang dan berfikir secara kritis dan kreatif; dan
- Mengeratkan ukhuwah dan jaringan hubungan dalam kalangan peserta.
Aktiviti diatur sebegitu rupa supaya komunikasi dua hala dapat digerakkan, dan para belia merasa terpanggil untuk melibatkan diri secara penuh komitmen. Antara perkara yang diberi penekanan dalam aktiviti ini antaranya adalah:
- Pembentangan tajuk atau permasalahan yang dipilih
- Perbincangan isu-isu utama dan perkara berkaitan tajuk atau permasalahan
- Pengajaran dan cadangan daripada perbincangan
Aktiviti 48: Bengkel Jejak Warisan
Bagi memperkukuhkan jati diri dan meningkatkan penghayatan serta rasa bangga terhadap warisan bangsa, para belia wajar digalak untuk mengenali warisan setempat, sama ada amalan budaya atau tokoh setempat. Aktiviti ini menyediakan ruang untuk para belia membuat kajian mengenai tokoh atau sejarah penduduk setempat untuk didokumentasikan dan diwarisi oleh generasi muda. Perkongsian pencapaian atau kearifan setempat diyakini dapat memupuk rasa bangga para belia, bukan sahaja kerana kekuatan ilmu yang ada pada bangsanya tetapi juga kerana kegigihan atau usaha ahli masyarakat untuk memberi makna kepada kewujudan mereka.
Bengkel Jejak Warisan bertujuan memberi peluang kepada para belia untuk menjejaki dan mendokumentasikan kecemerlangan atau usaha masyarakat setempat supaya melaluinya tercapai hasrat berikut;
- Menanam minat dalam bidang kajian dan penulisan;
- Mengeratkan ukhuwah dan jaringan dalam kalangan belia dengan penduduk setempat, khususnya generasi lama yang menjadi informan utama; dan
- Meningkatkan penghayatan dan kebanggaan tentang tokoh atau warisan setempat.
Bagi mencapai matlamat tersebut, Jejak Warisan akan diisikan juga dengan aktiviti-aktiviti berikut: bengkel asas membuat kajian dan penyelidikan; bengkel penulisan; dan kerja amali mengumpul data.
Aktiviti 49: Kem Sukarelawan Belia
Belia berpotensi yang memiliki kecenderungan dalam kerja-kerja amal dan sukarela wajar digemblengkan tenaga dan daya fikir mereka supaya dapat menjadi kumpulan penggerak kepada pelbagai aktiviti bina upaya ummah di peringkat akar umbi. Potensi, minat dan semangat kesukarelaan belia ini akan dapat diperkembangkan melalui bimbingan yang terancang dan sistematik ke tahap yang memungkinkan mereka memiliki kemahiran dan rasa yakin diri yang tinggi untuk melakukan kerja-kerja sukarela kemasyarakatan.
Kem Sukarelawan Belia merupakan aktiviti khas yang dibina untuk menanam sifat keprihatian sosial dan semangat kesukarelawanan, serta memberi kemahiran mengurus aktiviti dalam kalangan para belia yang memperlihatkan minat dan kecenderungan ke arah itu.
Kem ini bertujuan:
- Menyedari dan memahami pentingnya kerja-kerja amal dan aktiviti sukarela;
- Memperkukuhkan lagi semangat kesukarelawanan;
- Menguasai beberapa kemahiran merancang dan melaksana aktiviti sukarela; dan
- Mewujudkan kumpulan-kumpulan sukarelawan yang berpengkalan di masjid.
Antara isi kandungan kem ini adalah: Kefahaman tentang makna dan peranan sukarelawan belia; Pengenalan tentang sifat-sifat sukarelawan yang berkesan; dan Perancangan dan pelaksanaan program.
Aktiviti 50: Kuliah Tasawur Islam
Kesempurnaan hidup seseorang Muslim bergantung kepada sejauh mana seseorang itu dapat mengamalkan agamanya dalam kehidupan seharian dengan baik dan betul berdasarkan nilai-nilai serta peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh agama Islam. Kesempurnaan amalan-amalan ini pula bergantung kepada kefahaman dan penghayatan terhadap konsep-konsep penting yang mendasari keseluruhan spektrum pandangan hidup Islam seperti ketuhanan, kenabian dan kerasulan, alam dan manusia, ilmu dan pendidikan, kesejahteraan, kebahagiaan dan akhlak. Setiap konsep penting ini perlu difahami dengan jelas supaya sebuah masyarakat yang lebih berilmu dan faham tentang agama serta matlamat kehidupan mereka yang sebenar dapat dibangunkan, dan kekeliruan fahaman dan amalan dapat dielakkan.
Siri Kuliah Tasawur Islam bertujuan untuk memperjelaskan kembali konsep-konsep penting tersebut serta memahami semula khazanah keilmuan dan peradaban yang telah menzahirkan zaman keagungan Islam.
Kesempurnaan hidup seseorang Muslim bergantung kepada sejauh mana seseorang itu dapat mengamalkan agamanya dalam kehidupan seharian dengan baik dan betul berdasarkan nilai-nilai serta peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh agama Islam. Kesempurnaan amalan-amalan ini pula bergantung kepada kefahaman dan penghayatan terhadap konsep-konsep penting yang mendasari keseluruhan spektrum pandangan hidup Islam seperti ketuhanan, kenabian dan kerasulan, alam dan manusia, ilmu dan pendidikan, kesejahteraan, kebahagiaan dan akhlak. Setiap konsep penting ini perlu difahami dengan jelas supaya sebuah masyarakat yang lebih berilmu dan faham tentang agama serta matlamat kehidupan mereka yang sebenar dapat dibangunkan, dan kekeliruan fahaman dan amalan dapat dielakkan.
Siri Kuliah Tasawur Islam bertujuan untuk memperjelaskan kembali konsep-konsep penting tersebut serta memahami semula khazanah keilmuan dan peradaban yang telah menzahirkan zaman keagungan Islam.
Kuliah ini bertujuan:
- Meningkatkan kefahaman dan penghayatan tentang konsep-konsep penting Islam;
- Menghayati budaya ilmu dan seterusnya memahami khazanah keilmuan Islam; dan
- Melengkapkan persediaan diri khususnya dari aspek rohani dan akliah, bagi menghadapi cabaran dunia pasca moden serta ideologinya yang pelbagai.
Antara tajuk-tajuk utama termasuklah:
- Tinjauan Ringkas tentang Pandangan Alam Islam;
- Makna Agama dan Peranan Wahyu;
- Hakikat Insan dan Kebahgiaan;
- Alam Semesta Sebagai Ayat-Ayat Allah;
- Faham Ilmu dan Pembudayaannya;
- Masalah Luaran Muslimin dan Ancaman Sekularisasi
- Masalah Dalaman Muslimin: Kekeliruan Ilmu;
- Kehilangan Adab;
- Ta’dib sebagai Faham Pendidikan Islam;
- Epistemologi;
- Psikologi Islami;
- Falsafah Moral dan Teori Etika; dan
- Kajian Agama: Sejarah dan Falsafahnya
Aktiviti 51: Seminar Pembudayaan Ilmu
Islam mewajibkan umatnya menuntut ilmu dan memandang mulia mereka yang berilmu, beriman dan beramal soleh. Semakin tinggi pengamalan budaya ilmu dalam sesebuah masyarakat, semakin tinggi martabatnya. Asas kepada pembentukan masyarakat berilmu adalah kefahaman yang jelas tentang makna dan budaya ilmu dalam kalangan ahli-ahlinya. Justeru, dalam membangun generasi pelapis yang berkualiti, para belia perlu bukan sahaja menguasai ilmu, tetapi juga memahami makna ilmu serta tanggungjawab untuk membudayakannya.
Seminar ini bertujuan menyediakan peluang kepada belia untuk menghayati makna ilmu dan kepentingan pembudayaannya dalam pembangunan ummah. Secara khusus seminar ini bertujuan:
- Meningkatkan kefahaman tentang makna ilmu dalam Islam;
- Meningkatkan kefahaman tentang kepentingan budaya ilmu dalam pembangunan ummah; dan
- Meningkatkan rasa tanggungjawab terhadap usaha pembudayaan ilmu.
Tajuk-tajuk utama yang akan dikupas dalam seminar ini adalah:
- Makna Ilmu dan Budaya Ilmu
- Tokoh Ilmuan Islam
- Peranan Ilmu dalam Pembinaan Jati Diri
- Peranan Ilmu dalam Melahirkan Insan Adabi
- Peranan Ilmu dalam Menangani Cabaran Semasa
- Budaya Ilmu dan Pembinaan Negara Maju
Aktiviti 52: Seminar Pembangunan Ummah
Golongan belia wajar dilibatkan secara langsung untuk membincang secara kritis permasalahan semasa yang melibatkan kelangsungan ummah. Perbincangan isu-isu ini sekiranya bersandar kepada ilmu akan memudahkan mereka mengenalpasti punca utama masalah ummah serta dapat mengelakkan daripada mengemukakan tindakan penyelesaian yang hanya mampu menangani masalah-masalah sekunder sahaja.
Seminar ini menyediakan peluang dan ruang kepada belia menggunakan pendekatan keilmuan bagi memahami dan menangani masalah semasa yang dihadapi oleh ummah. Berpandukan ilmu dan budaya keilmuan, adalah diharapkan pembentangan yang bersifat akademik akan merangsang perbincangan yang lebih kritis. Seminar ini bertujuan:
- Menggalakkan perbincangan permasalahan ummah semasa secara ilmiah;
- Meningkatkan kecekapan mengenal pasti punca utama permasalahan ummah; dan
- Meningkatkan semangat musyawarah dalam menyelesaikan masalah.
Untuk merealisasikan tujuan ini, perkara-perkara berikut telah dikenalpasti sebagai tajuk utama yang memandu seminar:
- Isu-isu Semasa yang kritikal
- Tanggungjawab Belia dalam Menangani Permasalahan Ummah
- Punca Utama Masalah Ummah
- Langkah-langkah Penyelesaian Masalah
- Cadangan Penyelesaian Masalah semasa