Senarai Aktiviti
- Peningkatan Profesionalisme Rakan Kongsi
- Majlis Ilmu Pemimpin Masyarakat
- Seminar Kepimpinan Islam dalam Pendidikan
- Seminar Wanita dan Kepimpinan
- Seminar Kepimpinan Dakwah Belia
- Kursus Pemerkasaan Jati Diri
- Bengkel Tanggungjawab Sosial
- Pengurusan Data Ahli Profesional Islam
- Wacana Profesional Islam
- Kursus Pemerkasaan Kepimpinan dan Pengurusan
- Bengkel Pengurusan Khas
- Kursus Peningkatan Kecekapan Instruksional
- Kursus Peningkatan Pelbagai Literasi
- Kursus Kefasilitatoran
- Kursus Jurulatih Fasilitator
- Kursus Asas Kajian Tindakan
- Kursus Asas Penyelidikan dan Penilaian
- Aktiviti Penyelidikan, Penilaian dan Penerbitan
Aktiviti 58: Peningkatan Profesionalisme Rakan Kongsi
Para pemimpin atau individu yang prihatin terhadap kesejahteraan ummah perlu sentiasa peka tentang perubahan-perubahan yang berlaku dalam persekitarannya, samada dari segi ekonomi, politik, pendidikan atau sosiobudaya. Kesedaran yang tinggi serta kefahaman yang mendalam tentang perubahan semasa dipercayai dapat membantu mereka memahami tugas dan tanggungjawab yang boleh mereka mainkan. Selain itu, ia juga dapat memberi peluang kepada para pemimpin dan individu prihatin menambah ilmu pengetahuan tentang isu-isu semasa dan perkembangan terkini dalam bidang-bidang yang berkaitan.
Aktiviti ini bertujuan:
a. Meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai perkembangan terkini dan perubahan persekitaran;
b. Mendapat pendedahan dan peluang berinteraksi untuk memahami isu-isu semasa; dan
c. Mengeratkan jaringan kerjasama atau ‘networking’ dalam kalangan peserta dengan agensi atau pakar berkaitan.
Untuk mencapai matlamat ini BPP-MIS mengenalpasti aktiviti anjuran agensi luar yang sesuai dan menghantar peserta dari kalangan Rakan Kongsi mengikut keperluan dan keutamaan. Isi kandungan aktiviti ditentukan oleh pihak penganjur, tetapi dalam penyertaan peserta, BPP-MIS memberi keutamaan kepada aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan aspek kepimpinan dan pengurusan.
Aktiviti 59: Majlis Ilmu Pemimpin Masyarakat
Seorang pemimpin harus memiliki perspektif dan kefahaman yang luas tentang perubahan persekitaran serta perkembangan terkini dalam bidang kepimpinan dan pengurusan bagi membolehkan mereka menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan berkesan. Melalui Majlis Ilmu Pemimpin Masyarakat para pemimpin akan didedahkan dengan pelbagai maklumat dan isu-isu semasa serta perkembangan terkini dalam bidang-bidang yang berkaitan. Pendedahan ini diharap dapat meningkatkan lagi pengetahuan dan kesedaran tentang peranan dan tanggungjawab sebagai pemimpin.
Majlis Ilmu ini bertujuan:
a. Meningkatkan pengetahuan dan kefahaman mengenai isu-isu semasa yang dihadapi ummah;
b. Meningkatkan kesedaran dan penghayatan mengenai tanggungjawab pemimpin dalam menangani isu dan cabaran serta masalah yang dihadapi ummah; dan
c. Mengeratkan jaringan kerjasama atau ‘networking’ dalam kalangan peserta dengan agensi atau pakar berkaitan.
Antara perkara penting yang dikongsikan dengan para peserta melalui ceramah, bengkel, dan taklimat adalah:
• Peranan Masjid Sebagai Pusat Ilmu;
• Kepimpinan dan Pengurusan (Kepimpinan Dari Perspektif Islam, dan Aspek-Aspek Penting serta Kemahiran dalam Kepimpinan dan Pengurusan);
• Isu-isu Semasa dan Cabaran yang Dihadapi Umat Islam;
• Perkembangan Terkini dalam Bidang Pendidikan, Ekonomi, Sosio-budaya dan Politik; dan
• Perkongsian Program dan Aktiviti Tahunan BPP-MIS.
Aktiviti 60: Seminar Kepimpinan Islam dalam Pendidikan
Pendidikan penting dalam pembentukan generasi masa depan. Pemimpin pendidikan perlu memahami perubahan persekitaran dan perkembangan terkini khususnya dalam bidang pendidikan dan kepimpinan bagi membolehkan mereka memainkan peranan dengan lebih berkesan. Seminar Kepimpinan Islam dalam Pendidikan menyediakan peluang kepada para peserta yang terdiri daripada pemimpin pendidikan di pelbagai peringkat untuk mempertingkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan kesedaran serta kefahaman tentang isu-isu semasa dan perkembangan terkini supaya mereka lebih bersedia untuk menanganinya.
Seminar ini bertujuan:
a. Meningkatkan pengetahuan dan kefahaman mengenai perkembangan terkini dalam bidang pendidikan;
b. Meningkatkan kepekaan dan keprihatinan tentang isu-isu pendidikan dan perubahan semasa; dan
c. Meningkatkan kesedaran dan penghayatan mengenai tanggungjawab pemimpin pendidikan dalam menangani perubahan.
Seminar yang diadakan bagi memenuhi keperluan Guru Besar, Pengetua dan Pegawai Kanan Pendidikan ini dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, dan diisi dengan aktiviti seperti pembentangan kertas kerja, ceramah, forum dan bengkel. Persoalan semasa yang diberi perhatian dalam seminar ini antaranya adalah:
• Cabaran Kepimpinan Pendidikan dalam Pembangunan Ummah
Abad ke-21;
• Budaya Kerja Cemerlang;
• Cabaran Terhadap Akidah Umat Islam;
• Pemimpin dan Kepimpinan Cemerlang;
• Cabaran Pendidikan Ummah; dan
• Prestasi Pelajar Islam dalam Pendidikan Rendah dan Menengah.
Aktiviti 61: Seminar Wanita dan Kepimpinan
Kefahaman mengenai makna serta tanggungjawab kepimpinan dalam berorganisasi adalah penting untuk dikuasai oleh wanita yang berkerjaya. Kefahaman ini akan membantu mereka bukan sahaja dalam menjalankan tugas dan amanah bagi melahirkan khaira’ ummah di peringkat organisasi masing-masing tetapi juga sebagai pemimpin kepada anak-anak dan ahli keluarga. Seminar Wanita dan Kepimpinan bertujuan memberi kefahaman kepada wanita mengenai konsep kepimpinan dari perspektif Islam. Melalui seminar ini diharap peserta dapat meningkatkan lagi pengetahuan dan kesedaran mereka tentang tanggungjawab mereka sebagai wanita Islam.
Seminar ini memberi tumpuan kepada usaha untuk:
a. Meningkatkan kefahaman peserta mengenai konsep dan makna kepimpinan;
b. Meningkatkan kefahaman tentang ilmu dan peranan ilmu dalam kepimpinan;
c. Meningkatkan pengetahuan tentang kepimpinan Rasullullah SAW dan kepimpinan tokoh-tokoh wanita terdahulu; dan
d. Meningkatkan dan memperkukuhkan ukhwah dan jaringan sesama Muslimat.
Pembentangan kertas kerja, ceramah, forum dan bengkel yang dijalankan dalam seminar ini berkisar sekitar tajuk-tajuk berikut:
• Konsep kepimpinan dan tanggungjawab pemimpin;
• Wanita dan pelbagai peranan kepimpinan;
• Kepimpinan Rasulullah SAW sebagai teladan kepimpinan yang terpuji;
• Kepimpinan tokoh-tokoh wanita terdahulu; dan
• Ilmu sebagai tonggak kecemerlangan kepimpinan.
Aktiviti 62: Seminar Kepimpinan Para Pendidik Agama Islam
Dakwah adalah asas kepada kelangsungan agama Islam dan penyebarannya. Setelah Rasullullah SAW wafat, tugas dan kewajiban berdakwah dipertanggungjawabkan kepada seluruh umat Islam berdasarkan kepada kedudukan mereka sebagai umat yang terbaik dan paling layak bagi melaksanakan kewajipan tersebut. Dalam Al-Quran terdapat beberapa ayat yang menggesa supaya tugasan dakwah ini dilaksanakan oleh setiap umat Islam, antaranya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah dan petunjuk” (16:125).
Al-Quran menjelaskan aktiviti dakwah harus dipikul dalam kehidupan setiap umat Islam. Seminar Kepimpinan Para Pendidik Agama Islam disediakan dengan tujuan memberi peluang kepada peserta terutamanya para pendidik agama Islam untuk meningkatkan kesedaran dan penghayatan mengenai tanggungjawab mereka sebagai pendakwah. Seminar yang dikhaskan untuk guru pendidikan Islam, pegawai agama Islam dari pelbagai agensi, pihak NGO, dan pendakwah bebas ini bertujuan:
a. Meningkatkan kesedaran dan kepekaan tentang isu dan permasalahan dalam berdakwah;
b. Meningkatkan kemahiran, kefahaman dan penghayatan mengenai tanggungjawab pemimpin dan pendidik agama Islam dalam menjalankan aktiviti dakwah; dan
c. Mengeratkan silatulrahim dan membina jaringan hubungan dalam kalangan para pendidik agama Islam.
Antara perkara penting yang dibincang dalam ceramah, forum dan bengkel dalam seminar ini adalah:
• Isu dan Cabaran Umat Islam Sarawak;
• Konsep Dakwah;
• Perkembangan Terkini Kegiatan Dakwah di Sarawak;
• Isu dan Permasalahan dalam Berdakwah; dan
• Pendekatan dan Kaedah Berdakwah dalam Masyarakat Majmuk.
Aktiviti 63: Kursus Pemantapan Jati Diri
Seseorang pemimpin perlu mempunyai jati diri yang mantap. Dengan adanya kekuatan dan dorongan dalaman yang kuat serta semangat kerja sepasukan yang tinggi, seseorang pemimpin akan lebih bersedia dan berkeyakinan untuk mengambil inisiatif bagi memacu anggota masyarakat atau warga organisasi di bawah kepimpinannya bergerak maju. Kursus Pemerkasaan Jati Diri menyediakan peluang kepada para pemimpin dan individu prihatin meningkatkan kesedaran dan jati diri serta semangat kerja sepasukan.
Kursus ini bertujuan:
a. Meningkatkan kefahaman tentang ciri-ciri kepimpinan yang berkesan dan sifat-sifat pemimpin yang terpuji;
b. Meningkatkan kefahaman tentang pentingnya kesediaan mental, rohani, emosi dan sosial dalam memikul tanggungjawab kepimpinan;
c. Meningkatkan kemahiran dan keupayaan membina semangat kerja sepasukan; dan
d. Mengeratkan jaringan kerjasama dalam kalangan rakan kongsi.
Antara perkara yang diberi perhatian dalam Kursus yang diisi dengan aktiviti Latihan Dalam Kumpulan, ceramah, refleksi dan perbincangan dalam kumpulan ini adalah:
• Isu dan Cabaran Masyarakat Islam di Sarawak;
• Tanggungjawab Kepimpinan Seorang Muslim;
• Istiqamah dalam Menjalankan Tugas;
• Kesedaran Emosi Kendiri;
• Kawalan Desakan Hati;
• Perhubungan Interpersonal;
• Pembinaan Kerja Sepasukan; dan
• Pemupukan dan Pemeliharaan Harga Diri.
Aktiviti 64: Bengkel Tanggungjawab Sosial
Bagi melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan lebih berkesan, seorang pemimpin harus memiliki keyakinan dan jati diri serta semangat kerja sepasukan yang mantap. Di samping itu, mereka juga perlu mempunyai kesedaran tentang tanggungjawab dan semangat kepedulian sosial yang tinggi. Melalui Bengkel Tanggungjawab Sosial yang merupakan aktiviti lanjutan kepada Kursus Pemerkasaan Jati Diri, para pemimpin dan individu prihatin berpeluang meningkatkan lagi kesedaran dan keprihatinan serta semangat kepedulian tentang masalah yang dihadapi ummah.
Bengkel yang diisikan dengan aktiviti-aktiviti dalam bentuk ceramah, kerja lapangan, Latihan Dalam Kumpulan, dan pembentangan ini dikendalikan bagi mencapai tujuan berikut:
a. Meningkatkan kefahaman mengenai isu dan masalah yang dihadapi ummah masa kini;
b. Meningkatkan rasa kebertanggungjawaban serta semangat kepedulian sosial tentang masalah yang dihadapi ummah; dan
c. Meningkatkan kesediaan dan keupayaan mengenalpasti langkah-langkah yang boleh diambil untuk memperbaiki prestasi kepimpinan masing-masing dalam menangani masalah sosial setempat.
Antara perkara yang dibincangkan dan dikupas bagi tujuan merangka tindakan penyelesaian adalah:
• Cabaran Masyarakat Islam di Sarawak dalam menangani Isu dan permasalahan sosial setempat;
• Sunnah Rasullullah SAW sebagai contoh bertindak menangani gejala sosial; dan
• Tindakan penyelesaian strategik.
Aktiviti 65: Pengurusan Data Ahli Profesional Islam
Merancang dan melaksana program dan aktiviti pembangunan ummah memerlukan kepakaran dan kemahiran selain kesungguhan dan komitmen yang tinggi daripada semua pihak. Dalam hal ini penglibatan para profesional adalah amat diperlukan, terutamanya bagi Program atau Aktiviti yang diadakan di masjid-masjid yang memerlukan kepakaran atau kebolehan tertentu. Setakat ini hubungan dan jaringan dalam kalangan para profesional adalah amat terbatas. Untuk membolehkan hubungan dan jaringan ini dipertingkatkan dan juga bagi tujuan memudahkan pihak masjid menghubungi para profesional, BPP-MIS telah berusaha mewujudkan pangkalan data para profesional Islam yang mempunyai kesanggupan dan kesediaan untuk membantu.
Aktiviti Pengurusan Data ini bertujuan:
- Meningkatkan keberkesanan pengurusan data dan maklumat mengenai para profesional Islam yang pernah terlibat dalam pelbagai program dan aktiviti BPP-MIS; dan
- Meningkatkan penyebaran maklumat dan data serta memudahkan lagi capaian bahan tersebut bagi tujuan membantu JK Pengurusan Masjid dalam melaksanakan aktiviti pendidikan dan kemasyarakatan mereka.
Aktiviti 66: Wacana Profesional Islam
Para profesional merupakan golongan yang mempunyai potensi besar untuk berkongsi ilmu dan kepakaran bagi membangunkan ummah. Dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta pengalaman yang dimiliki mereka berkemampuan menyumbang kepada kejayaan pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti kemasyarakatan yang dikelolakan di peringkat bahagian dan daerah terutama sekali di masjid-masjid untuk masyarakat setempat. Meskipun demikian potensi tersebut tidak dapat dikembangkan atas sebab tuntutan kerja seharian.
Wacana Profesional Islam memberi peluang kepada para profesional untuk berinteraksi, bertukar-tukar pandangan, serta menyumbang idea dan cadangan bagi menangani isu-isu dan cabaran yang dihadapi ummah. Melalui perjumpaan secara bersemuka dalam kalangan para pendidik, pegawai tadbir, doktor perubatan, arkitek, jurutera, peguam dan seumpamanya, BPP-MIS berkeyakinan bahawa isu-isu semasa yang menyentuh kesejahteraan dan kebajikan ummah akan dapat dibincang dan dikupas secara profesional, dan langkah-langkah penyelesaian dapat dicari bersama.
Wacana Profesional Islam bertujuan:
a. Mengeratkan perhubungan dan semangat kerjasama antara golongan profesional;
b. Meningkatkan kesedaran dan keprihatinan tentang isu-isu berkaitan dengan pembangunan ummah serta cabaran masakini; dan
c. Meningkatkan kesedaran serta memupuk kesediaan golongan profesional untuk melibatkan diri sebagai rakan kongsi BPP-MIS dalam melaksanakan pelbagai program dan aktiviti pengimarahan masjid dan pembangunan ummah amnya.
Antara perkara penting yang akan dikongsikan melalui ceramah, pembentangan kertas kerja, forum dan bengkel semasa wacana ini diadakan adalah:
• Maklumat atau dapatan daripada kajian berkaitan isu atau masalah yang dihadapi ummah;
• Perkembangan dan cabaran terkini dalam bidang pendidikan, ekonomi, sosiobudaya dan politik; dan
• Agenda pembangunan ummah dan program dan aktiviti tahunan Majlis Islam Sarawak dan BPP-MIS.
Aktiviti 67: Kursus Pemerkasaan Kepimpinan dan Pengurusan
Pemimpin merupakan tonggak terpenting dalam sesebuah oganisasi. Kualiti serta keupayaan seseorang pemimpin akan menentukan kejayaan organisasi tersebut. Bagi meningkat keupayaan dan kewibawaannya dalam melaksanakan tugas, seseorang pemimpin perlu memahami secara mendalam tentang peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan ke atasnya, serta memiliki ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam bidang kepimpinan dan pengurusan.
Kursus Pemerkasaan Kepimpinan dan Pengurusan menyediakan peluang kepada para pemimpin dan individu prihatin untuk meningkatkan ilmu dan kefahaman serta kemahiran dalam bidang kepimpinan dan pengurusan dan bertujuan:
a. Meningkatkan kefahaman tentang konsep serta ciri-ciri kepimpinan dan pengurusan berkesan;
b. Meningkatkan kefahaman tentang peranan pemimpin dalam pengupayaan dan pemerkasaan masjid;
c. Meningkatkan kemahiran memimpin dan mengurus dalam bidang-bidang yang berkaitan; dan
d. Meningkatkan keyakinan dan keupayaan untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin akar umbi.
Untuk mencapai matlamat ini, tumpuan diberi kepada usaha meningkatkan kefahaman tentang konsep-konsep asas kepimpinan dan juga beberapa aspek kemahiran khusus seperti:
• Teras: konsep kepimpinan dan pengurusan; dan peranan pemimpin dan kepimpinan dalam pengimarahan dan kemajuan kampung atau masjid;
• Opsyen 1: Pengurusan Program: Kaedah Perancangan; Pelaksanaan; Penjadualan; Bajet; Pemantauan dan Penilaian;
• Opsyen 2: Kemahiran Asas Menolong: Memahami Bahasa Isyarat; Menyoal dengan Berkesan; Refleksi dan Rumusan; Dorongan Minima; Mengendalikan Kesenyapan; Kajian Kes; dan Latihan Amali; dan
• Opsyen 3: Komunikasi Berkesan: Membina Asas Komunikasi; Menetapkan Matlamat yang Jelas; Memantapkan Komunikasi; Gaya Berkomunikasi; Strategi Mendengar; Komunikasi Silang Budaya; dan Mewujudkan Komunikasi yang Ikhlas.
Aktiviti 68: Bengkel Pengurusan Khas
Bengkel Pengurusan Khas diadakan dengan tujuan untuk memberi ilmu pengetahuan dan kemahiran khas kepada para Rakan Kongsi BPP-MIS yang terdiri daripada para pemimpin akar umbi dan individu prihatin. Melalui pendedahan keilmuan dan kemahiran dalam bengkel khas tersebut, sebagai rakan kongsi yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti setempat, mereka akan lebih berkeyakinan untuk membawa perubahan kepada cara pengurusan.
Dua (2) Aktiviti berkaitan pengurusan yang diberi penekanan adalah:
a. Pengurusan Program dan Perancangan Strategik; dan
b. Pengurusan Pelajar Pintar.
Pengurusan Program dan Perancangan Strategik
Rakan Kongsi BPP-MIS yang terdiri daripada kalangan para fasilitator merupakan kumpulan penting yang boleh memainkan peranan utama sebagai pembimbing dalam perancangan program dan aktiviti, terutamanya di peringkat masjid. Mereka perlu mempunyai bukan sahaja kemahiran dalam bidang kefasilitatoran tetapi juga memiliki keupayaan dan kemahiran dalam bidang pengurusan program dan perancangan strategik. Dengan kemahiran tersebut mereka boleh membimbing dan membantu pihak masjid merancang dan melaksana program dan aktiviti pembangunan ummah dengan lebih berkesan.
Melalui kursus yang dikendalikan dalam bentuk ceramah, bengkel dan latihan amali ini, para fasilitator diberi pendedahan dan peluang untuk meningkatkan kefahaman serta kemahiran dalam bidang pengurusan dan perancangan strategik. Pengalaman yang diperolehi menerusi perbincangan dan bengkel dijangka dapat meningkatkan keyakinan mereka sebagai fasilitator dan pembimbing.
Kursus ini bertujuan:
a. Meningkatkan kefahaman tentang konsep serta kaedah pengurusan program dan perancangan strategik;
b. Meningkatkan kemahiran mengurus program: merancang, mengelola, memantau dan menilai pelaksanaan program; dan
c. Meningkatkan keyakinan dan keupayaan untuk membimbing dan membantu pihak JK Pengurusan Masjid dalam membuat perancangan dan pelaksanaan program dan aktiviti secara strategik mengikut keperluan setempat dan visi serta misi yang telah ditetapkan.
.
Antara kandungan penting Kursus yang dikendalikan dalam bentuk ceramah, latihan amali, dan bengkel ini adalah:
• Pengenalan kepada Pengurusan Program;
• Asas Perancangan Strategik: membincang atau membina visi, misi dan objektif atau matlamat strategik;
• Analisis Faktor Luaran dan Dalaman;
• Penjanaan Objektif Jangka Panjang & Pembentukan Strategi Utama: Kaedah SWOT Matriks;
• Pemilihan Strategi Utama: Kaedah QSP Matriks; dan
• Menjana Pelan Tindakan & Mekanisme Penilaian Strategi.
Pengurusan Pelajar Pintar
Potensi pelajar pintar perlu dibangunkan secara optimum melalui aktiviti pembelajaran yang selari dengan tahap kecerdasan mereka. Oleh kerana kekangan tertentu pelajar-pelajar yang pintar kerap tidak mendapat perhatian sewajarnya. Pemimpin pendidikan dan guru sekolah perlu menguasai kemahiran khusus dalam bidang pengurusan pelajar pintar supaya keperluan mereka tidak terabai. Melalui Kursus Pengurusan Pelajar Pintar para pemimpin pendidikan dan guru-guru yang terlibat secara langsung dengan pelajar di sekolah berpeluang untuk mendapatkan pendedahan asas mengenai pendekatan mengurus serta kemahiran menangani keperluan pelajar pintar.
Kursus ini disediakan untuk Pengetua, Guru Besar, Guru Kanan Hal Ehwal Murid, Kaunselor, Ketua Panitia Mata Pelajaran dan Guru Pendidikan Khas bagi tujuan:
a. Meningkatkan kesedaran tentang tanggungjawab mengurus dan membangun potensi pelajar pintar secara menyeluruh;
b. Meningkatkan kebolehan mengenalpasti dan memahami keperluan pelajar-pelajar pintar; dan
c. Meningkatkan kecekapan dan kemahiran mengurus program dan aktiviti pendidikan untuk membangun potensi pelajar pintar.
Perkara utama yang dikongsikan dengan para peserta dalam Kursus ini adalah:
• Psikologi Kanak-Kanak Pintar;
• Kaedah Mengenalpasti Pelajar Pintar; dan
• Teknik dan Kaedah Mengurus Pelajar Pintar.
Aktiviti 69: Kursus Peningkatan Kecekapan Instruksional
Kursus Peningkatan Kecekapan Instruksional diadakan dengan tujuan untuk membantu Rakan Kongsi BPP-MIS, khususnya para fasilitator dalam kalangan guru meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan kecekapan pedagogi mereka bagi membantu BPP-MIS dan JK Pengurusan Masjid dalam melaksanakan beberapa aktiviti pendidikan yang diperlukan murid-murid setempat. Selain itu, Kursus ini juga dikendalikan dengan tujuan memperkukuhkan lagi keyakinan para guru dalam mentransformasikan proses pengajaran dan pembelajaran untuk menjadi pengalaman yang bermakna, menarik dan menyeronokkan bagi murid-murid.
Bersandarkan keperluan setempat, empat (4) aktiviti mengenai kecekapan instruksional yang difikir wajar diberi kepada guru adalah:
a. Bengkel Peningkatan Ilmu dan Kemahiran dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak;
b. Kursus Instruksional Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris;
c. Kursus Kemahiran Instruksional Murid Pintar; dan
d. Kursus Instruksional Guru Al-Quran.
Bengkel Peningkatan Ilmu dan Kemahiran dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak
Pengetahuan mengenai perkembangan awal kanak-kanak perlu difahami dan dikuasai oleh guru dan pengasuh sebagai asas untuk membantu mereka dalam membangun dan melaksanakan program pengasuhan, bimbingan dan didikan yang bersesuaian.
Bengkel Peningkatan Ilmu dan Kemahiran dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak menyediakan peluang untuk guru dan pengasuh mempelajari ilmu dan kemahiran yang diperlukan.
Bengkel ini memberi ilmu dan kemahiran berkenaan dengan perkara-perkara berkaitan secara langsung dengan kebajikan kanak-kanak bagi tujuan:
a. Meningkatkan ilmu dan kefahaman peserta mengenai perkembangan kanak-kanak;
b. Meningkatkan kemahiran instruksional Perkembangan Awal Kanak-kanak; dan
c. Meningkatkan keyakinan diri guru dan pengasuh dalam membimbing kanak-kanak.
Antara perkara yang dikongsikan dalam Bengkel ini adalah:
• Psikologi Perkembangan Awal Kanak-kanak;
• Metodologi Pengajaran dan Pembelajaran Perkembangan Awal Kanak-kanak: Rancangan Mengajar, Bahan Alat Bantu Mengajar, Teknik Penyampaian, Penilaian dan Pentaksiran; dan
• Pengurusan Kanak-kanak: Keselamatan, Kebajikan, dan Disiplin.
Kursus Instruksional Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris
Penguasaan Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains adalah penting bagi memperluaskan peluang untuk melanjutkan pelajaran. Terdapat ramai murid sekolah yang beranggapan bahawa mata pelajaran tersebut sukar dikuasai dan prestasi mereka masih belum memuaskan. Kursus Instruksional Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, telah diperkenalkan kepada Rakan Kongsi BPP-MIS sebagai satu usaha untuk membantu para guru meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran serta minat murid dalam subjek tersebut. Kursus ini bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran agar mereka dapat menyediakan suasana pembelajaran yang lebih efektif dan menyeronokkan.
Kursus Instruksional Matematik memperkenalkan kepada para peserta perkara-perkara berikut:
• Teknik-teknik Membangkitkan Minat Murid dalam Mempelajari Matematik;
• Kaedah-kaedah Penyelesaian Masalah; dan
• Aktiviti Pengayaan dan Pemulihan.
Kursus ini bertujuan:
a. Meningkatkan kefahaman dan penghayatan mengenai tujuan pelbagai aktiviti projek matematik;
b. Meningkatkan penguasaan pelbagai kaedah pengajaran matematik;
c. Meningkatkan pengetahuan dan kemahiran penyelesaian masalah; dan
d. Meningkatkan keupayaan mengendali aktiviti pengayaan dan pemulihan.
Kursus Instruksional Sains menyediakan ruang dan peluang kepada para peserta untuk menguasai perkara berikut:
• Teknik-teknik Membangkitkan Minat Murid dalam Mempelajari Sains;
• Kaedah-kaedah Melaksana Proses Sains; dan
• Pengendalian Aktiviti Lapangan.
Kursus ini bertujuan:
a. Meningkat kefahaman dan penghayatan mengenai tujuan pelbagai aktiviti projek sains;
b. Menguasai pelbagai kaedah pengajaran sains;
c. Mempertingkatkan pengetahuan dan kefahaman tentang proses sains; dan
d. Meningkat keupayaan mengendali aktiviti lapangan.
Antara perkara yang diberi penekanan dalam Kursus Instruksional Bahasa Inggeris ini adalah:
• Teknik-teknik membangkitkan minat murid dalam menguasai bahasa inggeris;
• Kaedah-kaedah pengajaran bahasa inggeris; dan
• Aktiviti pengayaan dan pemulihan dalam pembelajaran bahasa inggeris.
Kursus ini bertujuan:
a. Meningkatkan kemahiran mengajar secara lebih berkesan dengan menguasai pelbagai kaedah pengajaran bahasa;
b. Meningkatkan kebolehan menilai hasil kerja murid;
c. Meningkatkan kefasihan bertutur dan penguasaan menulis bahasa Inggeris; dan
d. Meningkatkan keupayaan mengendali aktiviti pengayaan dan pemulihan bahasa Inggeris.
Kursus Kemahiran Instruksional Murid Pintar
Bagi membangunkan sepenuhnya potensi yang ada pada murid pintar dan cerdas guru-guru perlu menyediakan pengalaman pembelajaran yang bersesuaian dengan tahap kebolehan dan kecerdasan murid-murid tersebut. Sehubungan dengan itu, guru-guru yang dipertanggungjawabkan untuk membimbing murid pintar perlu diberi peluang untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran instruksional agar dapat memenuhi keperluan pendidikan murid-murid tersebut. Kursus ini menyediakan peluang untuk membolehkan para guru meningkatkan ilmu dan kemahiran instruksional mereka.
Kursus ini bertujuan:
a. Meningkat kefahaman tentang kaedah dan teknik membimbing murid pintar;
b. Meningkat kemahiran instruksional guru; dan
c. Meningkat kefahaman tentang psikologi murid pintar
Guru Panitia Matapelajaran Sekolah Rendah didedahkan dengan perkara berikut:
• Ciri-ciri pelajar cerdas dan pintar;
• Psikologi murid pintar;
• Penyediaan persekitaran pembelajaran untuk murid pintar;
• Peranan guru memotivasikan murid pintar; dan
• Kaedah instruksional untuk membimbing murid pintar secara berkesan.
Kursus Instruksional Guru Al-Quran
Melalui program JQAF kanak-kanak Islam yang sudah diperkenalkan dengan Al-Quran dan bahasa Arab didapati mempunyai bakat dan suara untuk menjadi qari dan qariah yang baik. Murid yang berbakat ini wajar dibimbing dan disediakan dengan asas ilmu taranum bagi membolehkan mereka meminati dan mendalami bidang bacaan Al-Quran secara bertaranum. Kursus ini memberi peluang kepada guru-guru Al-Quran meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam bidang taranum, di samping memantapkan lagi keberkesanan kaedah penyampaian mereka.
Kursus ini bertujuan:
a. Meningkatkan pengetahuan dan kemahiran guru Al-Quran dalam bidang teknik sebutan dan bacaan Al-Quran;
b. Meningkatkan peluang berinteraksi antara guru Al-Quran dengan fasilitator; dan
c. Mengeratkan silatulrahim dan jaringan kerjasama yang positif dalam kalangan sesama guru.
Untuk membantu dan membimbing Guru Al-Quran yang terlibat dengan Kem Bakat Al-Quran, antara pengisian utama Kursus ini:
• Ilmu dan kemahiran membaca Al-Quran;
• Latihan amali membaca Al-Quran secara bertaranum;
• Motivasi diri dan asas kerohanian; dan
• Penghayatan modul dan bahan pembelajaran.
Kursus Instruksional Seni Khat
Seni khat seperti mana yang telah diperjelaskan dalam Aktiviti 19 dan Aktiviti 25 adalah kebudayaan dan warisan kesenian Islam yang perlu dipupuk dalam individu muslim pada peringkat awal memandangkan ia adalah cara utama mengekalkan al-Quran dan pengganti untuk melambangkan Allah SWT bukan dalam bentuk gambar. Melihat kepada perkembangan semasa seni ini di Malaysia, para fasilitator perlu didedahkan dengan kemahiran instruksional dalam menyampaikan asas kesenian ini dengan cara menarik yang dapat menimbulkan minat dalam diri anak muslim.
Justeru itu, kursus ini bertujuan untuk melahirkan sekumpulan tenaga pengajar untuk Kem dan Bengkel Seni Khat. Secara umumnya, kursus ini diisi dengan mendedahkan peserta kepada:
• Asas Penulisan Khat;
• Beberapa jenis tulisan khat sedia ada yang boleh diajarkan;
• Kaedah penyediaan peralatan khat menggunakan bahan tempatan; dan
• Mencipta hasil kerja kreatif khat yang dapat dijadikan contoh dalam kursus.
Aktiviti 70: Kursus Peningkatan Pelbagai Literasi
Kursus ini diadakan sebagai satu langkah sokongan penting untuk meningkatkan kemahiran para pemimpin akar umbi dan individu prihatin yang banyak terlibat dalam pelbagai majlis ilmu kendalian BPP-MIS dan juga masjid-masjid. BPP-MIS yakin bahawa dengan adanya kemahiran asas ini, mereka akan lebih bersedia untuk menikmati ilmu dan lebih berkemampuan untuk menyumbang kepada usaha peningkatan kualiti diri dan orang lain yang berada di sekitar mereka. Dua (2) kursus literasi yang dibangunkan adalah:
a. Kursus Peningkatan Literasi Komputer; dan
b. Kursus Kefahaman Bahasa Al-Quran.
Kursus Literasi Komputer
Dalam era ICT, penggunaan komputer diyakini boleh memudah dan meningkatkan mutu pengurusan data dan maklumat. Namun demikian masih ramai dalam kalangan Ketua Masyarakat dan JK Pengurusan Masjid kurang mahir dalam menggunakan kemudahan tersebut. Mereka perlu diberi peluang untuk menguasai kemahiran tersebut supaya mereka boleh menjalankan tugas mereka dengan lebih berkesan. Kursus ini menyediakan peluang untuk membolehkan para peserta mempelajari dan menguasai kemahiran asas berkaitan dengan penggunaan komputer.
Kursus ini bertujuan:
a. Memupuk kemahiran asas menggunakan komputer;
b. Meningkatkan kefahaman dan keyakinan menggunakan komputer dalam pelbagai urusan pentadbiran dan mencari ilmu di pustaka maya; dan
c. Menyediakan kemahiran mengguna komputer dalam pengurusan data dan maklumat.
d.
Pengisian kursus ini merangkumi perkara berikut:
• Isu dan Cabaran Penggunaan ICT;
• Asas-asas Komputer;
• Penggunaan Microsoft Office – Word, Excel dan Powerpoint;
• Pengurusan Data dan Maklumat;
• Penggunaan Internet –Enjin Carian; dan
• Media Sosial; e-Mail dan Blog.
Kursus Kefahaman Bahasa Al-Quran
Al-Quran merupakan sumber ilmu yang teragung. Umat Islam bukan sahaja dituntut untuk membaca Al-Quran tetapi juga memahami isi kandungannya. Kursus ini menyediakan peluang kepada para peserta mempelajari bahasa Al-Quran dan memberi pendedahan awal tentang makna perkataan dan ungkapan yang kerap ditemui dalam Al-Quran serta hukum atau tatabahasa yang berkaitan dengannya. Isu-isu yang berkait rapat dengan pemahaman ungkapan dan tatabahasa dalam Al-Quran turut dipelajari.
Kursus yang disediakan untuk Rakan Kongsi BPP-MIS dikendalikan melalui ceramah, bengkel dan latihan amali dengan tujuan:
a. Meningkatkan keupayaan mengenalpasti dan memahami perkataan dan ungkapan yang kerap ditemui dalam Al-Quran; dan
b. Meningkatkan kemahiran dan keyakinan peserta untuk terus mempelajari, mendalami dan memahami bahasa Al-Quran secara persendirian.
Antara tajuk utama yang dikongsikan dalam Kursus ini adalah:
• Apakah itu Al-Quran?
• Kandungan dan Bahasa Al-Quran;
• Langkah Awal Mengenali Al-Quran;
• Memperkenalkan Perkataan Asas untuk Memahami Al-Quran;
• Perkataan-Perkataan Lain dalam Al-Quran; dan
• Tatabahasa yang Berkaitan untuk Memahami Al-Quran.
Aktiviti 71: Kursus Kefasilitatoran
Dari peringkat akar umbi, BPP-MIS dan Rakan Kongsi terutama JK Pengurusan Masjid dan Ketua Masyarakat banyak bergantung kepada para fasilitator yang terlatih untuk membantu mereka melaksanakan pelbagai aktiviti pendidikan dan kemasyarakatan yang sesuai dengan keperluan setempat. Fasilitator mempunyai tanggungjawab penting untuk membantu kelancaran program, aktiviti dan pengurusannya serta pengisian aktiviti tersebut. Menyedari pentingnya peranan para fasilitator, maka BPP-MIS telah membangunkan Kursus Kefasilitatoran bagi tujuan meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran mereka dalam bidang pemudahcaraan. BPP-MIS berpandangan bahawa program dan aktiviti yang dibimbing oleh fasilitator yang cekap lebih berupaya untuk membantu program tersebut mencapai matlamat atau sasarannya.
Lima (5) kursus yang diperkenalkan adalah:
a. Kursus Lanjutan Fasilitator PERASA;
b. Kursus Fasilitator Jati Diri;
c. Kursus Fasilitator Eksplorasi Minda;
d. Kursus Fasilitator BESTARI; dan
e. Kursus Fasilitator Budaya.
Kursus Lanjutan Fasilitator PERASA
Keberkesanan sesuatu aktiviti banyak bergantung kepada kualiti atau keupayaan fasilitator yang mengendalikannya. Selain daripada memiliki ilmu dan kemahiran dalam bidang kefasilitatoran para fasilitator juga perlu memahami dan peka tentang perkembangan dan latarbelakang peserta yang terlibat serta prihatin dan memahami sepenuhnya falsafah dan objektif serta isi kandungan modul yang dilaksanakan. Untuk tujuan ini, BPP-MIS menyediakan Kursus Lanjutan Fasilitator PERASA bagi memberi peluang kepada para fasilitator mendapat pendedahan dan pengalaman serta meningkatkan semangat kepedulian sosial dan kemahiran yang diperlukan untuk mengendalikan aktiviti tersebut secara berkesan.
Tujuan utama Kursus ini adalah:
a. Meningkatkan kesedaran dan keprihatinan terhadap isu dan cabaran yang dihadapi ummah;
b. Meningkatkan kefahaman mengenai modul Bengkel Tanggungjawab Sosial dan Bengkel Prihatin Ummah;
c. Meningkatkan kemahiran dalam pengendalian Bengkel Tanggungjawab Sosial dan Bengkel Prihatin Ummah; dan
d. Mengeratkan silatulrahim dan jaringan kerjasama dalam kalangan para fasilitator yang banyak terlibat dengan pelaksanaan Program dan Aktiviti BPP-MIS.
Antara isi kandungan utama dan perkara yang terkandung dalam Kursus ini dan disampaikan dalam bentuk ceramah, bengkel, aktiviti dalam kumpulan dan latihan amali adalah:
• Prinsip PERASA: CUT APPLE A;
• Pengenalan Modul Bengkel Tanggungjawab Sosial dan Bengkel Prihatin Ummah;
• Aktiviti ‘Kembara Kasih’;
• Pembinaan Semangat Kepedulian Sosial; dan
• Kreativiti dalam Penyampaian dan Latihan Dalam Kumpulan.
Kursus Fasilitator Jati Diri
Pembentukan dan penerapan nilai-nilai jati diri dalam kalangan murid dan pelajar memerlukan fasilitator yang bukan sahaja peka dan prihatin tentang perkembangan dan pembangunan kanak-kanak, tetapi juga memiliki pengetahuan dan kemahiran dalam mengendalikan aktiviti yang berkaitan. Kursus ini menyediakan peluang dan pengalaman kepada para fasilitator bagi membolehkan mereka menimba ilmu dan kemahiran untuk mengendali aktiviti-aktiviti pembinaan dan pembentukan jati diri murid dan pelajar di kawasan masing-masing. Kursus ini adalah untuk memberi kemahiran penyampaian yang boleh memotivasikan, mendorong keinginan dan kecenderungan dalaman diri peserta.
Kursus ini bertujuan:
a. Meningkatkan kefahaman tentang aktiviti pembinaan dan pembentukan jati diri;
b. Meningkatkan kemahiran tentang kaedah-kaedah pengendalian aktiviti jati diri; dan
c. Meningkatkan kefahaman tentang peranan fasilitator sebagai pembimbing dan penggerak aktiviti.
Perkara utama dalam Kursus ini adalah:
• Peranan dan Tanggungjawab Fasilitator
• Konsep Aktiviti Jati Diri Pelajar
• Kaedah Pengendalian Aktiviti
• Jenis-Jenis Aktiviti dan Kaedah Menjalankan Aktiviti.
Kursus Fasilitator Eksplorasi Minda
Belia adalah pelapis pemimpin pada masa hadapan dan juga pewaris kepada tamadun bangsanya. Justeru, mereka perlu dibimbing dan diberi peluang untuk menjadi individu yang bertanggungjawab dan memahami peranan masing-masing dalam pembentukan khaira’ ummah. Fasilitator yang prihatin dan peka tentang keperluan pembangunan dan perkembangan minda belia perlu diberi peluang untuk memperoleh ilmu, kemahiran dan pengalaman yang sesuai bagi membimbing belia, terutama yang tercicir dan ketinggalan daripada arus pembangunan semasa.
Melalui kursus ini, belia yang pernah mengikuti aktiviti kendalian BPP-MIS dilantik untuk menjadi fasilitator Aktiviti Eksplorasi Minda bagi menyediakan peluang dan pengalaman kepada bakal fasilitator menimba ilmu dan kemahiran untuk mengendali aktiviti-aktiviti yang sesuai dengan keperluan belia yang memerlukan bimbingan.
Kursus ini bertujuan:
a. Meningkatkan kecekapan dan kemahiran fasilitator mengendalikan aktiviti-aktiviti yang boleh membina semangat dan meningkat kesedaran tentang potensi diri;
b. Meningkatkan kemahiran kefasilitatoran dan pengendalian aktiviti dalam kumpulan; dan
c. Meningkatkan keyakinan diri dan rasa kebertanggungjawaban sebagai fasilitator.
Kursus yang dikelolakan dengan kerjasama Rakan Belia dan dikendalikan oleh jurulatih fasilitator dalam bentuk ceramah, bengkel dan latihan amali mengandungi perkara-perkara berikut:
• Pemahaman tentang Konsep Asas Kefasilitatoran dan Tanggungjawab Fasilitator;
• Pemahaman tentang Modul Aktiviti Eksplorasi Minda dan Penyesuaiannya dengan Keperluan Setempat; dan
• Kaedah dan Pendekatan Berdakwah Secara Berkesan melalui Aktiviti Kefasilitatatoran.
Kursus Fasilitator BESTARI
Belia wanita bakal mengurus rumahtangga serta berperanan sebagai pengasuh dan pendidik yang sentiasa mengambil berat tentang kebajikan dan kesejahteraan keluarga. Justeru, belia wanita perlu dibimbing dan diberi peluang untuk mengenali, memahami dan menangani isu atau perkara yang boleh menjejas fungsi sosial mereka.
Sebagai pembimbing, fasilitator bukan sahaja perlu prihatin dan peka tentang aspek keselamatan dan maruah diri wanita, tetapi juga perlu menguasai ilmu, kemahiran dan pengalaman yang sesuai bagi membimbing belia wanita, terutama golongan yang berisiko tinggi.
Kursus ini memberi peluang dan pengalaman kepada para fasilitator Aktiviti BESTARI untuk mendapat pendedahan tentang isu-isu sosial semasa yang melibatkan wanita bagi memperoleh ilmu dan kemahiran yang mampu menjadikan mereka pengendali aktiviti yang sesuai dengan keperluan wanita.
Kursus ini bertujuan:
a. Meningkatkan kecekapan dan kemahiran mengendalikan aktiviti-aktiviti yang boleh menimbulkan kesedaran tentang isu-isu sosial semasa yang berhubung dengan keselamatan wanita;
b. Meningkatkan kemahiran kefasilitatoran dan pengendalian aktiviti dalam kumpulan wanita remaja; dan
c. Meningkatkan keyakinan diri dan rasa kebertanggungjawaban sebagai fasilitator golongan belia.
Kursus dengan kerjasama Rakan Belia ini dikendalikan oleh jurulatih fasilitator dalam bentuk ceramah, bengkel dan latihan amali mengandungi perkara-perkara berikut:
• Pemahaman tentang Konsep Asas Kefasilitatoran dan Tanggungjawab Fasilitator;
• Pemahaman tentang Modul Aktiviti BESTARI, dan Penyesuaiannya dengan Keperluan Setempat; dan
• Kaedah dan Pendekatan Berdakwah Secara Berkesan melalui Aktiviti Kefasilitatoran.
Kursus Fasilitator Budaya
Budaya adalah satu elemen penting yang mencorak jati diri, perwatakan dan pandangan hidup seseorang individu. Kelangsungan budaya sesebuah masyarakat bukan sahaja bergantung kepada kesesuaiannya dengan keadaan semasa, tetapi juga kepada penerimaan dan amalan nilai serta unsur budaya tersebut oleh ahli-ahlinya. Sebagai pembimbing budaya kepada generasi muda, para fasilitator Kem Asas Budaya, Kem Seni Budaya dan Kem Budaya perlu mengetahui serta memahami secara mendalam nilai budaya dan aspek penting yang diterapkan. Selain itu, mereka juga perlu memiliki kemahiran dan kecekapan yang bersesuaian untuk menyampaikannya dengan berkesan.
Kursus ini memberi peluang dan pengalaman kepada fasilitator memperoleh ilmu dan kemahiran yang relevan, untuk mengendalikan aktiviti pembangunan budaya bagi golongan belia. Pekara berikut perlu difahami dan dikuasai:
• Nilai dan Aspek Penting Budaya Melayu Islam;
• Isu dan Cabaran Terhadap Kelangsungan Watak Budaya Ummah dalam Konteks Kehidupan Semasa;
• Konsep Asas dan Tanggungjawab Fasilitator;
• Pendekatan dan Kaedah Penyampaian Modul Budaya; dan
• Modul-Modul Budaya dan Penyesuaiannya dengan Keperluan Setempat.
Kursus untuk membimbing fasilitator Aktiviti Budaya dan dikendalikan dalam bentuk ceramah, perbincangan, bengkel dan aktiviti amali bertujuan:
a. Meningkatkan pengetahuan dan kefahaman mengenai nilai dan aspek budaya;
b. Meningkatkan kesedaran dan penghayatan mengenai isu-isu sosiobudaya semasa; dan
c. Meningkatkan kemahiran kefasilitatoran dan pengendalian aktiviti dalam kumpulan.
Aktiviti 72: Kursus Jurulatih Fasilitator
Pihak JK Pengurusan Masjid menyediakan senarai nama fasilitator setempat untuk pelbagai aktiviti pendidikan berasaskan komuniti supaya mereka mudah mendapat khidmat dalam melaksanakan program atau aktiviti di masjid masing-masing. Kekurangan bilangan fasilitator setempat adalah antara faktor yang membatas ruang kesempatan BPP-MIS untuk membantu dan memenuhi permintaan JK Pengurusan dalam usaha murni mereka memenuhi keperluan pendidikan setempat. Masalah ini disedari oleh BPP-MIS, dan demikian juga masalah utama dalam menambah bilangan fasilitator dan keupayaan untuk melatih yang baru.
Sehubungan itu, untuk menambah bilangan fasilitator bagi menampung keperluan semua bahagian dan daerah di seluruh Negeri Sarawak, BPP-MIS memerlukan lebih ramai jurulatih yang boleh mengendalikan program latihan tersebut. Kursus ini adalah untuk memperkasakan fasilitator yang berpotensi dengan ilmu dan kemahiran dalam bidang kejurulatihan supaya mereka berkeyakinan dan berkeupayaan menjalankan tanggungjawab sebagai jurulatih.
Tujuan utama Kursus ini adalah:
a. Meningkatkan ilmu dan kemahiran kejurulatihan;
b. Meningkatkan keyakinan, keupayaan dan kecekapan melatih fasilitator; dan
c. Meningkatkan kefahaman tentang peranan dan tanggungjawab serta hubungan mentor-mentee yang saling melengkapi.
Perkara penting yang dikongsikan dalam Kursus ini dan disampaikan melalui ceramah, bengkel dan amali adalah:
• Peranan dan Tanggungjawab Jurulatih;
• Kemahiran Kejurulatihan;
• Pendekatan Pedagogi dan Adragogi;
• Komunikasi Berkesan; dan
• Kepimpinan dan Pengurusan program latihan kefasilitatoran.
Aktiviti 73: Kursus Asas Kajian Tindakan
Pembudayaan penyelidikan dalam kalangan guru adalah satu cara untuk meningkatkan profesionalisme mereka sebagai pendidik. Kajian tindakan memberi ruang kepada guru untuk membuat refleksi dan meningkatkan keupayaan untuk menilai, mengamati dan menganalisis amalan seharian dalam bilik darjah bagi tujuan penambahbaikan proses pengajaran dan pembelajaran. Kursus yang disediakan untuk guru-guru yang berkhidmat di sekolah rendah dan sekolah menengah di bawah Majlis Islam Sarawak bertujuan:
a. Meningkatkan ilmu dan kemahiran melaksanakan kajian tindakan; dan
b. Meningkatkan keyakinan dan kecekapan untuk menggunakan dapatan kajian tindakan dalam konteks kerja-kerja penambahbaikan amalan seharian.
Antara isi kandungan utama yang disampaikan melalui ceramah, bengkel dan kerja-kerja amali dalam Kursus ini adalah:
• Pengenalan Kepada Kajian Tindakan;
• Langkah-langkah dalam Pelaksanaan Kajian Tindakan;
• Penyediaan Kertas Cadangan Kajian Tindakan;
• Latihan Amali & Pelaksanaan Kajian Tindakan; dan
• Aplikasi Hasil Kajian dalam Pengajaran.
Aktiviti 74: Kursus Asas Penyelidikan dan Penilaian
BPP-MIS menyedari bahawa dapatan daripada penyelidikan, kajian atau penilaian yang dibuat bukan saja berguna untuk menentukan bentuk tindakan penambahbaikan kepada amalan yang perlu dilakukan, tetapi juga boleh membantu menentukan hala tuju dalam membuat keputusan. Selari dengan usaha membudayakan penyelidikan dan penilaian dalam kalangan Rakan Kongsi, BPP-MIS menyediakan latihan kepada pegawai-pegawai atau rakan kongsi yang memerlukan kemahiran dalam bidang penyelidikan dan penilaian program bagi membantu mereka membuat penyelidikan dan penilaian di tempat masing-masing.
Kursus Asas Penyelidikan dan Penilaian dibangunkan bagi memberi peluang kepada peserta untuk meningkatkan kefahaman dan kemahiran dalam bidang penyelidikan dan penilaian dengan harapan kemahiran tersebut dapat membantu dalam meningkatkan lagi keberkesanan pelaksanaan tugas harian masing-masing.
Kursus ini bertujuan:
a. Meningkatkan kesedaran dan kefahaman tentang pentingnya penyelidikan dan penilaian dalam pelaksanaan program atau aktiviti;
b. Meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang penyelidikan;
c. Meningkatkan kemahiran membuat penilaian keberkesanan program atau aktiviti; dan
d. Meningkatkan keyakinan dan keupayaan melaksanakan projek penyelidikan atau penilaian mengikut keperluan kerja masing-masing.
Kursus ini terdiri daripada pegawai dan kakitangan dari jabatan dan agensi di bawah MIS yang memerlukan kemahiran tersebut dalam melaksanakan tugas mereka, dan juga mereka yang berhasrat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana atau kedoktoran. Isi kandungan Kursus antaranya adalah:
• Pengenalan kepada Penyelidikan;
• Tinjauan Kajian Lepas;
• Cadangan Penyelidikan atau Penilaian;
• Metodologi Penyelidikan;
• Pembinaan Instrumen Pengumpulan Data;
• Analisis Data;
• Dapatan Kajian dan Rumusan; dan
• Laporan Hasil Kajian.
Aktiviti 75: Aktiviti Penyelidikan, Penilaian dan Penerbitan
Aktiviti penyelidikan, penilaian dan penerbitan adalah antara aktiviti penting di bawah kendalian BPP-MIS. Program dan Aktiviti yang telah dirancang dan dilaksanakan bukan sahaja perlu dikaji dan dinilai kesan dan impaknya, tetapi juga perlu dilihat kesesuaian keperluan atau isi kandungannya dengan keadaan semasa, dan dapatan daripada aktiviti ini didokumentasi dan diterbitkan. Tiga (3) Aktiviti penyelidikan, penilaian dan penerbitan memberi ruang dan peluang kepada BPP-MIS untuk menilai program yang dirancang dan dilaksanakan, dan pada masa yang sama membantu Rakan Kongsi untuk membuat kajian mereka sendiri mengikut keperluan setempat.
Aktiviti Penyelidikan
Penyelidikan merupakan salah satu daripada aktiviti profesional yang dijalankan oleh BPP-MIS sebagai sebuah unit latihan dan perkhidmatan pendidikan di bawah Majlis Islam Sarawak. Aktiviti penyelidikan dijalankan untuk mendapatkan data dan maklumat yang boleh dijadikan asas untuk memantapkan lagi perancangan dan pelaksanaan serta penambahbaikan Program dan Aktiviti BPP-MIS.
Literasi.
Aktiviti Penilaian
Aktiviti Penilaian merupakan salah satu daripada khidmat profesional yang dijalankan oleh BPP-MIS. Penilaian Program bertujuan untuk mengkaji sejauh mana sesuatu Program atau Aktiviti itu memenuhi objektif dan hasrat pengelolaannya. Segala dapatan yang diperolehi digunakan sebagai panduan dan asas kepada usaha penambahbaikan Program atau Aktiviti berkenaan.
Aktiviti Penerbitan
Aktiviti Penerbitan memberi fokus kepada usaha menerbit buku Laporan Pelaksanaan Program dan Aktiviti Tahunan BPP-MIS. Selain itu, BPP-MIS juga melalui aktiviti ini menyediakan peluang bagi penerbitan bahan-bahan lain seperti Laporan Hasil Kajian Atau Hasil Penyelidikan dan Penilaian. Laporan-laporan ini diterbit untuk dimanfaatkan sebagai bahan rujukan pihak-pihak yang berkenaan.