Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the supsystic_tables domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in C:\Domains\bppmiscom\bppmis.com\wwwroot\wp-includes\functions.php on line 6114
10 Aktiviti Kumpulan Rakan Kongsi (Aktiviti #76 hingga #85)

10 Aktiviti Kumpulan Rakan Kongsi (Aktiviti #76 hingga #85)

  1. Aktiviti Pendidikan
  2. Aktiviti Kepimpinan dan Pengurusan
  3. Aktiviti Sosiobudaya
  4. Aktiviti Pembangunan Kemahiran
  5. Aktiviti Peningkatan Kefahaman Islam
  6. Aktiviti Kekeluargaan
  7. Aktiviti Bina Insan
  8. Aktiviti Kesukarelaan
  9. Aktiviti Khidmat Nasihat
  10. Aktiviti Warga Emas

Aktiviti 76: Aktiviti Pendidikan

Aktiviti Pendidikan bertujuan menyediakan wadah pembelajaran, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan para belia yang memerlukan bimbingan supaya mereka dapat mengikuti pendidikan arus perdana dengan rasa yakin dan penuh minat. Pihak Rakan Kongsi seperti JK Pengurusan Masjid, sekolah, belia dan kumpulan individu prihatin di peringkat akar umbi yang terlibat secara aktif perlu mengenal pasti keperluan pendidikan belia sama ada berbentuk akademik, kemahiran dan kemasyarakatan, seterusnya merangka aktiviti yang difikirkan sesuai untuk memenuhi keperluan tersebut.

Aktiviti 77: Aktiviti Kepimpinan dan Pengurusan

Aktiviti Kepimpinan dan Pengurusan ialah aktiviti yang bertujuan meningkatkan mutu kepimpinan dan pengurusan atau aktiviti yang dapat mengembangkan bakat serta minat kepimpinan dalam kalangan para belia dan pemimpin masyarakat setempat. BPP-MIS beranggapan bahawa usaha pihak JK Pengurusan Masjid dan Rakan Kongsi Belia mengelola pelbagai aktiviti kepimpinan dan pengurusan wajar diberi sokongan.

Aktiviti 78: Aktiviti Sosiobudaya

Aktiviti Sosiobudaya ditakrifkan oleh BPP-MIS sebagai aktiviti yang memberi fokus kepada hal-hal berkaitan dengan pembangunan sosiobudaya dalam kalangan ummah, khususnya para belia dan pelajar yang memerlukan bimbingan. Aktiviti yang bertujuan membangkitkan kesedaran sosial, memupuk semangat kepedulian atau rasa prihatin, dan membentuk kepekaan budaya dan nilai-nilai murni, dianggap penting dalam usaha melahirkan belia atau individu yang bertanggungjawab kepada diri dan masyarakat. Pemupukan pelbagai amalan sosiobudaya dalam kalangan golongan belia dan masyarakat umum adalah dituntut demi kelangsungan seni budaya tempatan yang diamalkan dalam hidup bermasyarakat.

Aktiviti 79: Aktiviti Pembangunan Kemahiran

Aktiviti Pembangunan Kemahiran merujuk kepada aktiviti yang menyediakan peluang kepada para belia yang memerlukan bimbingan untuk memperoleh maklumat atau kemahiran tertentu bagi membantu memulakan aktiviti perniagaan berskala kecil dan sederhana dengan tujuan untuk menjana pendapatan. Pihak Kerajaan melalui pelbagai agensi yang berkaitan banyak menyediakan peluang-peluang sedemikian dan seharusnya ianya dimanfaatkan oleh para belia yang memilih bidang keusahawanan sebagai kerjaya mereka.

Aktiviti 80: Aktiviti Peningkatan Kefahaman Islam

BPP-MIS mentakrifkan Aktiviti Peningkatan Kefahaman Islam sebagai aktiviti kelolaan atau kendalian Rakan Kongsi BPP-MIS yang bertujuan membantu kanak-kanak atau belia setempat untuk menambahkan ilmu pengetahuan dan meningkatkan atau mengukuhkan kefahaman mereka tentang agama Islam, sama ada Fardu Ain atau Fardu Kifayah. Beberapa aktiviti yang telah dibangunkan oleh BPP-MIS seperti Usrah Qudwah, Kem Pemahaman Akidah, dan Kuliah Tasawur Islam adalah antara aktiviti yang boleh juga dilaksanakan oleh JK Pengurusan Masjid di masjid masing-masing bagi tujuan memenuhi keperluan setempat.

Aktiviti 81: Aktiviti Kekeluargaan

Aktiviti Kekeluargaan ditakrifkan oleh BPP-MIS sebagai aktiviti yang bertujuan untuk memantapkan institusi keluarga bagi memupuk kerukunan dan keharmonian hidup berkeluarga. BPP-MIS berpandangan bahawa pendidikan atau perkembangan kanak-kanak adalah lebih mudah sekiranya berada dalam persekitaran sosiobudaya yang sihat, kondusif dan mesra. BPP-MIS juga percaya bahawa keberkesanan usaha untuk membangunkan keluarga yang bahagia dan persekitaran pendidikan di rumah yang mendorong kecemerlangan adalah bergantung kepada pelbagai faktor seperti ilmu, kemahiran, sikap, komitmen dan persefahaman yang bukan sahaja perlu ada pada pasangan yang mendirikan rumahtangga tetapi juga hubungan saling menghormati antara ibu bapa dan anak-anak.

Aktiviti 82: Aktiviti Bina Insan

Aktiviti Bina Insan adalah aktiviti dapat membentuk watak dan jati diri individu, terutamanya pelajar dan belia untuk membina rasa yakin diri dan juga kesedaran terhadap maruah dan harga diri sebagai seorang individu Muslim. BPP-MIS menyedari bahawa aktiviti seperti ini sangat penting bagi mempersiapsiagakan kanak-kanak dan belia Islam untuk menghadapi dan menangani cabaran serta persaingan dalam era globalisasi. Pengaruh budaya dan nilai dalam perkembangan pesat ICT, sekiranya tidak ditangani dengan bijak boleh memesongkan akidah, akhlak serta amalan generasi muda Islam. Dalam konteks ini, usaha JK Pengurusan Masjid, Ketua Masyarakat dan Kumpulan Rakan Muda BPP-MIS untuk mengelola pelbagai aktiviti membina dan memupuk semangat ukhuwah Islamiah, rasa setiakawan, dan keyakinan dan jati diri bagi memperkukuhkan daya saing dan juang dalam kalangan belia adalah amat relevan.

Aktiviti 83: Aktiviti Kesukarelaan

BPP-MIS mentarifkan Aktiviti Kesukarelaan adalah usaha untuk melibatkan penyertaan dan penglibatan para belia dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan setempat. Aktiviti seperti ini adalah untuk memanfaatkan tenaga muda para belia dan memberi kefahaman kepada mereka tentang pentingnya semangat kesukarelawanan dalam menggerak dan menjayakan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan. BPP-MIS menyedari bahawa penglibatan belia dalam pengelolaan aktiviti sedemikian akan dapat memupuk nilai positif dan semangat kepedulian sosial, di samping meningkatkan potensi serta keyakinan diri mereka sendiri untuk berinteraksi dalam kalangan sesama rakan sebaya dan juga dengan orang dewasa.

Aktiviti 84: Aktiviti Khidmat Nasihat

BPP-MIS mentakrifkan Aktiviti Khidmat Nasihat sebagai sebarang aktiviti kendalian Rakan Kongsi yang menyediakan peluang dan ruang kepada belia yang masih terumbang ambing mencari pedoman hidup dan memerlukan bimbingan serta kaunseling bagi menangani cabaran atau permasalahan yang dihadapi. Golongan belia yang masih mancari hala tuju dan masih belum berkemampuan untuk menetapkan sasaran dan matlamat perlu diberikan khidmat nasihat serta didedahkan dengan peluang yang ada di sekeliling mereka, seperti peluang melanjutkan pelajaran atau mengikuti kursus kemahiran yang sesuai dengan kebolehan masing-masing.

Aktiviti 85: Aktiviti Warga Emas

Aktiviti Warga Emas membawa maksud sebarang aktiviti yang memberi perhatian dan tumpuan kepada usaha untuk melibatkan warga emas secara aktif dan bermakna dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang memanfaatkan sepenuhnya pengalaman, kepakaran serta kebijaksanaan yang mereka miliki bagi tujuan memberi nilai tambah kepada aktiviti pembangunan ummah. Selain itu, aktiviti juga berusaha untuk meningkatkan kualiti hidup, kesihatan dan kebajikan seharian warga emas dari aspek sosial, emosi, rohani, intelek atau jasmani, supaya mereka merasa diri mereka tetap diperlukan, dihargai dan diberi tempat yang istimewa dalam masyarakatnya.

Hasil daripada bantuan ini Pusat Perkhidmatan Warga Emas Petra Jaya (PPWE-PJ) telah ditubuhkan pada tahun 2016 dan beroperasi di Pusat Kegiatan BPP-MIS, Kuching. PPWE-PJ merancang dan menjalankan pelbagai aktiviti warga emas terutama untuk ahli-ahlinya sepanjang tahun menggunakan bantuan yang disalurkan oleh BPP-MIS. Melalui pusat baharu ini, BPP-MIS bekerjasama rapat dengan jawatankuasa PPWE-PJ untuk memenuhi keperluan warga emas di kawasan Petra Jaya.

Aktiviti Pendidikan || Aktiviti Kepimpinan dan Pengurusan || Aktiviti Sosiobudaya || Aktiviti Pembangunan Kemahiran || Aktiviti Peningkatan Kefahaman Islam || Aktiviti Kekeluargaan || Aktiviti Bina Insan || Aktiviti Kesukarelaan || Aktiviti Khidmat Nasihat || Aktiviti Warga Emas

Leave a Reply