Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the supsystic_tables domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in C:\Domains\bppmiscom\bppmis.com\wwwroot\wp-includes\functions.php on line 6114
4 Aktiviti Sekolah Majlis Islam Sarawak (Aktiviti #86 hingga #89)

4 Aktiviti Sekolah Majlis Islam Sarawak (Aktiviti #86 hingga #89)

Senarai Aktiviti

  1. Aktiviti Pembangunan Staf
  2. Bengkel Pengurusan Sekolah-Sekolah MIS
  3. Randau Pendidikan
  4. Karnival PIBG dan Alumni Sekolah

Aktiviti 86: Aktiviti Pembangunan Staf

Demi mencapai hasrat untuk menjadikan sekolah-sekolah MIS ini lebih cemerlang dan berwibawa, beberapa langkah telah dikenalpasti dan diambil untuk meningkatkan kecekapan dan keupayaan semua kakitangan sekolah-sekolah berkenaan. Sehubungan dengan itu, BPP-MIS menyediakan peruntukan untuk membantu pihak sekolah menjalankan aktiviti pembangunan staf di sekolah masing-masing bagi meningkatkan kualiti profesionalisme di semua peringkat pengurusan dan pentadbiran sekolah.

Bantuan BPP-MIS adalah dalam bentuk pembiayaan bagi menjalankan aktiviti yang dirancangkan dan dikendalikan oleh sekolah berkenaan mengikut keperluan dan keutamaan, dan juga bantuan untuk perolehan bahan-bahan rujukan yang berkaitan. Dengan bantuan ini diharapkan guru-guru dan staf sokongan dapat melaksanakan tugas masing-masing dengan lebih cekap dan berkesan serta mampu meningkatkan prestasi sekolah.

Aktiviti 87: Bengkel Pengurusan Sekolah-Sekolah MIS

Bengkel Pengurusan Sekolah-Sekolah Majlis Islam Sarawak (MIS) diadakan dengan tujuan memberi kesempatan kepada semua pasukan kepimpinan dan pengurusan tertinggi dari semua sekolah MIS untuk berbincang dan berkongsi perancangan dan pengalaman masing-masing kepada teman-teman sejawat. Adalah diharapkan melalui perjumpaan secara bersemuka ini, pihak kepimpinan dan pengurusan sekolah akan dapat: mengenalpasti dan berkongsi permasalahan kepimpinan dan pengurusan; bertukar idea dan pengalaman dalam melaksanakan program pengajaran dan pembelajaran; membentang perancangan jangka panjang sekolah; dan mendapat maklum balas daripada MIS tentang visi dan misi MIS berhubung dengan sekolah dan tenaga pengajarnya.

Selain daripada untuk tujuan meningkatkan mutu kepimpinan profesional dan pengurusan sekolah, Bengkel Pengurusan ini juga bertujuan membina rangkaian kerjasama serta semangat setiakawan dalam kalangan pemimpin dan pihak pengurusan tertinggi sekolah-sekolah ini. Bengkel ini diisikan dengan sesi pembentangan prestasi pelaksanaan program sekolah; bengkel perancangan strategik; dan dialog dengan pihak MIS.

BPP-MIS juga mengharapkan bengkel ini akan memberikan kesedaran dan kepekaan baru tentang tuntutan semasa yang semakin mencabar, bukan sahaja dari aspek kepimpinan dan pengurusan sekolah, tetapi juga dari aspek cabaran sosiobudaya dan persekitaran profesionalisme pendidikan.

Aktiviti 88: Randau Pendidikan

Berbeza dengan Bengkel Pengurusan Sekolah-Sekolah MIS, Randau Pendidikan adalah merupakan majlis perkongsian ilmu dan amalan terbaik dalam kalangan sekolah-sekolah MIS dengan pihak PIBG dan Alumni. Randau Pendidikan bagi sekolah-sekolah MIS ini lebih bersifat wadah untuk menilai kembali dan mengukur prestasi dan keberkesanan inisiatif pendidikan yang telah diambil oleh pihak sekolah. Sebagai kumpulan berkepentingan, PIBG dan pihak Alumni berpeluang juga untuk membentang cadangan dan mengemukakan idea atau inisiatif penambahbaikan untuk dilaksanakan oleh sekolah bagi tujuan meningkatkan kualiti murid, disiplin dan sahsiah serta kompetensi pelajar dan warga sekolah-sekolah berkenaan.

Randau ini juga memberi peluang kepada pihak kepimpinan dan pengurusan sekolah untuk mengutarakan kekurangan, kesulitan dan masalah yang dihadapi dalam meningkatkan prestasi anak didik di sekolah-sekolah MIS bagi tujuan mendapat sokongan dan bantuan daripada pihak PIBG dan Alumni Sekolah.

Randau ini bertujuan:

a. Meningkatkan kefahaman PIBG dan Alumni Sekolah tentang perkembangan program akademik dan kokurikulum terkini di sekolah-sekolah MIS; dan
b. Meningkatkan penglibatan dan sokongan PIBG dan Alumni Sekolah dalam pelbagai program dan aktiviti sekolah

Aktiviti 89: Karnival PIBG dan Alumni Sekolah

PIBG dan Alumni Sekolah boleh memberi sumbangan yang besar dalam memperkasakan sekolah MIS melalui sokongan mental, fizikal dan kewangan.  Untuk mewujudkan sokongan tersebut pihak sekolah perlulah mendampingi pihak PIBG dan Alumni Sekolah secara kerap dan terancang.

Minggu PIBG dan Alumni Sekolah adalah bertujuan untuk mengerat dan memesrakan lagi jalinan hubungan antara pentadbir sekolah dengan ahli PIBG dan Alumni Sekolah. Aktiviti rekreasi dan majlis ilmu serta program keagamaan boleh diadakan sebagai pengisian acara minggu berkenan untuk memaknakan lagi hubungan PIBG dan Alumni Sekolah dengan pihak warga sekolah.

Leave a Reply